Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Virus politik landa industri seni - Hans Isaac
Diterbitkan:  Jun 12, 2020 5:04 PM
Dikemaskini: 2:07 PM

Bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hans Isaac mendakwa berkemungkinan terdapat “virus politik” melanda industri seni menyebabkan situasi menjadi kelam-kabut.

Kata Hans, dia tampil membongkarkan perkara terbabit hari ini kerana tangannya ibarat terikat dan mulutnya juga seakan tertutup sewaktu masih menduduki kerusi panas Finas ketika itu.

“Usaha untuk membela ahli industri ini telah dirancang dan diusahakan lebih awal.Tapi apakan daya, mungkin ada virus politik yang lebih bahaya daripada Covid-19 telah melanda industri kita hingga membuat keadaan menjadi cacamarba.

“Ini hak saya bersuara kerana ketika itu tidak ada peluang untuk menerangkan segalanya tapi kali ini kebebasan yang ada akan saya guna untuk meleraikan peristiwa lalu.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua ahli industri kerana tidak membuat kenyataan awal mengenai apa yang berlaku kerana ada tata cara yang mengikat saya,” katanya di media sosial.

Dakwanya, dia sering menjadi mangsa serangan pihak atau individu tertentu dalam industri kerana dianggap mengambil sikap berdiam diri daripada menunaikan amanah diberikan kepadanya.

“Finas antara agensi yang menjadi sasaran ahli industri kerana dikatakan mengamalkan sikap berdiam diri, tidak bertanggungjawab dan tiada hala tujuan. Persoalannya benarkah begitu?

“Hampir setiap hari, saya menerima serangan melalui media sosial dari ahli industri kerana sikap berdiam diri Finas ini. Antara yang menyerang ialah orang yang kini berada di sana.

“Hakikatnya, saya dan pasukan di Finas tidak pernah berdiam diri. Sebagai anak seni, saya faham permasalahan yang berlaku,” katanya.

Mengulas dakwaan dan kontroversi dia melangkaui kedudukannya sebagai pengerusi pula, Hans menjawab, ia suatu pemikiran penuh dengan “virus.”

“Saya dan pasukan bertungkus-lumus menyediakan proposal, di antara pelan cadangan ialah memberikan skim pinjaman dengan faedah yang paling rendah kepada penerbit-penerbit tempatan sebagai antara pelan cadangan.

“Saya gembira berjaya melaksanakannya. Namun, saya terbaca dari satu paparan di media sosial oleh seseorang yang kini berada di sana, kononnya ini cadangan mengarut dan bukan kuasa pengerusi Finas.

“Ini adalah contoh ahli industri yang sangat suram pemikirannya dan penuh dengan virus serta langsung tidak boleh berfikir di luar kotak. Tapi tidak mengapa, ini sekadar perkongsian,” katanya.

Hans yang juga penerbit dan pelakon itu berkata, dia sering membuat persediaan awal atas segala kemungkinan terutama sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan seperti merangka Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Malah beberapa program antaranya yang melibatkan kebajikan dalam musim PKP dipersiapkan. Tapi untuk melaksanakannya, saya perlukan sokongan pihak atasan,” katanya.

Tiada keperluan jumpa ahli politik

Namun, pelakon Buli itu menegaskan, tidak ada sebarang keperluan untuknya berjumpa dengan mana-mana ahli politik atau menteri ketika itu jika dia tidak memegang jawatan sebagai pengerusi Finas.

“Tidak ada keperluan. Waima kalau saya mahu menyertai politik sekalipun, bukan dalam sistem ketika ini. Ideologi saya kekal neutral dan berintegriti. Saya ulang sekali lagi. Integriti. Saya harap kenyataan ini jelas,” katanya.

Hans berharap, mesej utama hantarannya itu dapat memberi peringatan kepada semua pemimpin industri dan seterusnya untuk gerenasi akan datang bahawa mereka perlu memastikan falsafah industri kreatif dijauhkan daripada ideologi politik yang ekstrem.

“Jika segala perbincangan awal dapat dibuat saya rasa keadaan industri mungkin lebih baik dari sekarang dengan beberapa pakej dapat dilaksanakan lebih awal,

“Sebab itu mesej utama penulisan ini untuk peringatan kepada semua pemimpin industri ini pada gerenasi akan datang, pastikan falsafah industri kreatif ini dijauhkan daripada ideologi politik yang ekstrem. Kalau tidak, industri ini akan terus jahanam seperti hari ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS