Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Apabila ada pihak main politik rakyat yang susah cari makan'

Penyanyi Man Bai melihat penularan wabak Covid-19 di negara ini mungkin ada kaitannya dengan musibah akibat sikap sesetengah pihak yang didakwanya gemar memfitnah orang yang tidak sehaluan dengan mereka dalam berpolitik.

Menurutnya, percubaan merebut kuasa berpanjangan terhadap pentadbiran negara menyebabkan rakyat yang akhirnya tidak semena-mena menerima tempias.

“Tuhan bagi musibah ni sebabnya kita sibuk bercerita buruk dan memfitnah orang demi merebut kuasa politik. Allah tak suka perkara macam tu,” katanya kepada Malaysiakini.

Namun, sebagai rakyat yang terkesan dengan Covid-19, Man Bai atau nama sebenarnya Abdul Rahman Osman tidak ghairah untuk memikirkan politik secara keterlaluan.

Baginya, adalah lebih baik difikirkan cara untuk menampung keperluan hidup, isteri dan tiga orang cahaya matanya ekoran tiada pendapatan dapat dijana.

Hal itu berlaku kerana semua persembahan yang dijadual dibatalkan serta premis seperti kelab dan restoran sewaktu ditutup selaras dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Bersabar sajalah... Apabila ada pihak main politik, kita rakyat yang susah nak cari makan,” katanya.

Justeru, Man Bai, 52, berharap golongan penyanyi dan pemuzik tidak dipinggirkan untuk kembali meneruskan persembahan terbuka susulan banyak kelonggaran selain aktiviti komersial sudah dibenarkan di bawah PKP Pemulihan.

Mungkin terpaksa pilih dalam talian

“Saya anggap tak ada beza jika kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran, pengangkutan awam atau sekolah yang kesemuanya membabitkan ramai orang pada satu-satu masa.

“Jadi kenapa tak boleh buat konsert atau persembahan? Saya harap kerajaan tak tunggu terlalu lama untuk berikan kebenaran,” katanya.

Kata penyanyi lagu Suratan Takdir itu, dia juga bersedia untuk akur kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara agar impiannya untuk meneruskan Mini Showcase Gersang di S.O.L Petaling Jaya Palm Sports Centre yang tertangguh sejak 5 April lalu dapat direalisasikan.

“Showcase ni mesti diteruskan. Kerjaya saya bergantung sepenuhnya pada persembahan, tapi sekarang ni tak ada pendapatan.

"Asyik makan, tidur, dan duit asyik keluar saja. Pening sebab anak-anak dah besar.

“Saya harap sekurang-kurang Nov ini kami dapat beraksi di pentas untuk peminat Gersang, tapi apa pun tunggu hingga situasi Covid-19 pulih sepenuhnya kerana kalau buat tergesa-gesa pun khuatir orang tak berani nak datang,” katanya.

Pun begitu, Man bai yang juga terkenal dengan lagu Kau Ilhamku itu pada masa sama tidak menaruh harapan tinggi bahkan bersedia dengan segala kemungkinan sekiranya penganjuran aktiviti persembahan terbuka tetap dilarang kerajaan.

“Mungkin kami akan adakan penganjuran konsert berkenaan dalam talian. Insya-Allah akan bertemu dengan wakil sebuah platform penstriman muzik untuk duduk berbincang perkara ni,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS