Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
‘Kalau jadi kluster Search, Apologia payah juga’
Diterbitkan:  Jun 11, 2020 1:44 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Penyanyi Awie enggan terburu-buru mengadakan sebarang persembahan pentas selagi kerajaan belum mengumumkan Malaysia benar-benar bebas daripada wabak Covid-19.

Menurutnya, dia enggan mengambil sebarang risiko bahkan tidak mahu mendesak kerajaan untuk mendapatkan simpati sedangkan keadaan negara belum benar-benar selamat.

“Saya nak tunggu semuanya bersih kerana tak nak jadi dalam keadaan sensitiviti manusia, ramai yang meninggal dunia dan ramai masyarakat yang terkesan dengan keadaan ini, kita sibuk minta kebenaran untuk beraksi.

“Biar betul-betul okay baru teruskan. Kerajaan kata boleh buat baru kita buat. Janganlah kita mendesak. Dalam masa yang sama, saya percaya kerajaan juga memikirkan kesusahan golongan artis yang tak boleh buat konsert.

“Apabila ada simpati di situ sedangkan keadaan belum selamat, memang agak bahaya untuk kita. Saya tak nak ada elemen simpati begini. Kalau kata A, A lah dan kalau B, B lah. Kita terpaksa akur benda yang bahaya. Saya pun tak nak ambil risiko,” katanya dipetik Harian Metro.

Malah pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman itu berkata, semua pihak juga perlu mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, mengulas komen Nasir Daud mengenai Konsert Apologia Search & Awie di Stadium Malawati, Shah Alam yang ditangguh dari 28 Mac ke Disember ini, penyanyi itu menjawab, dia akan mempertimbangkan semua aspek terlebih dahulu.

"Semuanya kena merujuk kepada keputusan kerajaan. Nanti kalau buat juga dalam keadaan berisiko dan ada kluster Apologia atau kluster Search payah juga.

“Terpalit juga semuanya nanti. Apabila dibabitkan kluster itulah yang payah. Apapun dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, saya ada juga buat latihan vokal. Sekarang saya buat semula latihan tanpa band,” katanya.

Awie berkata, pemain bes kumpulan Search, itu tentu mempunyai sebab tersendiri apabila menyasarkan melangsungkan konsert terbabit pada Disember nanti.

"Sebenarnya penggiat seni bercakap atas kapasiti kehidupan yang terdesak. Tapi dalam masa sama kena fikir juga keselamatan masyarakat dan semua pihak. Kami (penggiat seni) nak situasi menang-menang. Kena ingat ini ialah punca rezeki kami.

“Bagaimana kami nak teruskan kehidupan tanpa konsert. Jalan penyelesaian perlu dicari. Itulah sebabnya Nasir buat pengumuman awal untuk beritahu yang konsert ini tetap diadakan kerana duit tiket yang dijual sebelum ini tak dipulangkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS