Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anas cuma ingin bakat jurusolek tempatan dihargai
Diterbitkan:  Jun 10, 2020 10:37 AM
Dikemaskini: 2:37 AM

Pengasas produk Anas Cosmetic, Anas Zahrin Enggan melayan reaksi pihak tertentu terhadap dirinya yang menyahut 'Lathi Challenge', sebuah cabaran yang menampilkan orang ramai tampil dengan video proses transformasi solekan.

Namun dengan merendah diri Anas berkata, dia tetap menghormati setiap pandangan, reaksi dan terjemahan masing-masing dalam hal tersebut kerana menyifatkan ia sangat subjektif.

Cuma bagi Anas, usaha dilakukannya itu sebenarnya lebih bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai agar menghargai sentuhan dan bakat kreatif jurusolek tempatan.

“Lebih utama, saya mahu orang ramai menghargai sentuhan dan bakat jurusolek, tidak kira sama ada komersial atau kesan khas.

“Ada yang akan menerima atau sebaliknya. Tapi bagi saya, saya terima semua komen dengan hati terbuka selain berlapang dada membaca komen,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas proses video yang mendapat kritikan ramai itu, Anas berkata, ia berkisahkan sifat manusia yang dilahirkan tidak sempurna, justeru, pasti ada masanya kebaikan dalam diri mereka akan bertarung dengan kejahatan untuk kekal relevan.

“Sosok Putera Jawa menunjukkan sisi baik atau positif dalam diri kita kita manakala makhluk jahat atau dianggap hantu pula melambangkan sisi negatif. Kedua-dua sisi ni cuba berjuang serta lawan antara satu sama lain.

“Insya-Allah, jika sisi baik dalam diri kita kuat, cekal juga tabah dan dengan izin kuasa Allah, pasti berjaya lawan semua perasaan negatif dan jahat,” katanya.

Terdahulu, beberapa selebriti tanah air tampil menyatakan rasa kurang senang dengan 'Lathi Challenge' antaranya penyanyi Faizal Tahir, pendakwah bebas Wan Dazrin Wan Din dan Pencetus Ummah Syed Bakri.

Lebih mengujakan, kata Anas, proses transformasi solekan khas tersebut mendapat pujian peminat dari seberang seperti penyanyi asal lagu Lathi dari Indonesia, iaitu Weird Genius yang berkolaborasi bersama penyanyi Sara Fajira dan jurusolek muda popular Jharna Bhagwani.

Malah penyanyi, komposer, warganet dari seberang termasuk Instafamous terkenal, Mimi Peri juga melayangkan ucapan pujian kepada Anas.

Bukan setakat itu, selebriti tempatan seperti Diana Danielle, Zulin Aziz, Bella Astillah, Uyaina Arshad, Nadiyah Shahab serta ramai lagi turut memuji usahanya melakukan solekan transformasi tersebut.

Video transformasi menampilkan wajah lelaki biasa kepada putera jawa seterusnya bertukar menjadi sosok seram dimuat naik di media sosial itu mengundang tontonan sebanyak 600,000 orang.

Selain itu, video berkenaan menerima lebih 7,000 komen dan lebih 20 juta reaksi di Twitter dan Instagram menjadikan video Lathi challenge dimuat naik Anas antara yang terbaik di Malaysia dan Indonesia setakat ini.

Berkongsi lanjut, Anas berkata, dia mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan cabaran solekan berkenaan.

“Semua ini takkan dapat direalisasikan dengan khidmat jurusolek profesional artis serta jurusolek profesional kesan khas. Merekalah yang menghidupkan semua ini. Fungsi dan peranan mereka amat penting serta wajar dikedepankan.

“Malah menerusi cabaran ini juga ramai teman jurusolek bergabung melakukan video transformasi solekan, bila lagi kita nak lihat jurusolek dan jurusolek kesan khas bergabung, lihat dari sudut yang positif,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS