Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Sekiranya anda pernah membaca esei Why I Write yang ditulis George Orwell kira-kira 74 tahun dulu, pasti dapat dibaca pesanan yang sengaja didengungkannya ke dalam fikiran kita. 

George Orwell menulis: “The opinion that art should have nothing to do with politics is itself a political attitude.”

Tidak siapa dapat menolak atau menyangkal bahawa penentuan kejayaan dan kegagalan perjuangan dalam industri seni itu ditentukan oleh kuasa pasaran.

Kebergantungan besar terhadap kuasa pasaran tersebut mentakdirkan industri seni menjadi secara semula jadi dipegang oleh kuasa politik.

Hal ini kerana sumber tenaga kerja, kandungan dan sistem pada kerangka perdagangan yang tertakluk di bawah ekosistem ekonomi rantaian industri dipegang sepenuhnya oleh pemodal kapitalis.

Hakikat itu mencipta realiti bahawa seni tertakluk kepada kekuasaan pemain politik yang memiliki kerusi di Dewan Rakyat dan memiliki pengaruh besar mereka ke atas kumpulan pemodal.

Di Barat misalnya, pemerintah, gereja dan hartawan adalah antara kumpulan masyarakat yang memberikan dana berbentuk wang, infrastruktur dan ruang kepada kesenian demi menaikkan prestij serta mempertingkatkan kuasa elit politik mereka dalam kalangan masyarakat.

Pada awal 2018, dalam satu wawancara dengan portal Kaki Sinema, Mad Noor Kassim - seorang susuk besar dalam dunia senimatografi perfileman negara - dengan keras menyebutkan: “Keadaan pekerja filem di Malaysia sangat daif. Siapa yang berminat menjadi kru di Malaysia ini, perlu fikir habis-habis. Ia bukan lagi tahap pelacur, ia mungkin sudah sampai ke tahap sampah. Walaupun sebenarnya mereka ini ialah tulang belakang tapi tiada penghargaan diberikan. Di Malaysia kita tidak menghargai pekerja di belakang tabir.”

Hidup ditentukan oleh politik

Penting untuk kita fahami bahawa apa yang diungkapkan dari hati seniman ini adalah berupa indikasi.

Seperti Orwell, Mad Noor menekankan melalui kenyataannya bahawa segala apa yang membelenggu industri perfileman di Malaysia selama ini adalah berpucuk pangkal dari isu dan hal politik yang bermain di sekitar industri kecil ini.

Menurut Edmund Burke Feldman melalui satu kaedah teori kritikan seni yang dibangunkannya, sesebuah kenyataan karya harus menjalani proses tinjauan pada takah penerangan, analisis, tafsiran dan penilaian.

Dari situ kenyataan seseorang pengkarya dapat disaring untuk dilihat dengan lebih jelas akan makna dari balik aspek gaya, idea serta konteks yang mahu dia suarakan.

Ia adalah suatu kenyataan politik yang mempersoalkan realiti terhadap orang politik dan orang kecil yang nasib hidupnya ditentukan kuasa politik.

Analisis daripada kenyataan ringkas tapi keras Mad Noor itu harus dilihat dari aspek bentuk, penggunaan subjek, objek dan kandungan perkataan yang dia keluarkan.

Ia perlu agar kita tidak tersasar daripada memahamkan isi sebenar yang mahu disampaikannya.

Beberapa hari lalu, bekas pengerusi Finas, Hans Isaacs, dilaporkan memulangkan semula gaji dan elaun yang diterimanya sepanjang dia memegang jawatan berkenaan.

Dalam laporan tersebut Hans turut menyenaraikan 26 perkara yang berjaya dicapai Finas pada sepanjang tempoh 13 bulan dia menjadi pengerusi.

Dia yang merakamkan rasa bangga kerana berhasil mengukuhkan kembali kewangan Finas itu tak perlu dipertikaikan lagi. Hans sememangnya ada alasan dan keperluan sendiri untuk melakukan apa saja, termasuklah berasa bangga serta mengambil kredit terhadap semua yang telah dia lakukan.

Selain manifesto misteri, isu caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Antara kejayaan yang disenaraikan Hans ialah menaikkan 30 peratus harga kontrak penerbitan dengan RTM.

Gunakan kuasa politik

Turut tidak ketinggalan, penetapan kos lantai RM1.5 juta bagi permohonan Insentif Filem Malaysia (FIMI) buat penerbit tempatan, cadangan MySkrin bagi memperkasakan Skim Wajib Tayang Finas serta menyelesaikan kes-kes tertunggak membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernilai RM29 juta yang melibatkan sembilan projek.

Namun di sebalik semua itu, adakah persoalan daripada kenyataan politik Mad Noor pada 2018 lalu terjawab?

Kini jawatan pengerusi Finas diisi Zakaria Abdul Hamid, iaitu bekas ketua cabang PKR yang sebelum ini dipecat kerana didakwa terlibat dengan salah laku semasa berebut undi bagi memastikan tempatnya dalam parti.

Zakaria (kiri) bersama Norman

Zakaria menafikan semua tuduhan salah laku itu kemudian membawa diri dan menyertai kem Azmin Ali. Bersama ahli parlimen Gombak itu ialah Saifuddin Abdullah, ahli parlimen Indera Mahkota yang dilantik sebagai menteri komunikasi dan multimedia.

Finas berada bawah kelolaan kementerian itulah.

Norman Abdul Halim yang dilantik sebagai timbalan pengerusi Finas pula merupakan orang Umno yang menyerah diri kepada Bersatu apabila BN tumbang dalam PRU14 lalu.

Semua ini bukanlah polemik, akan tetapi politik. Ia adalah realiti dunia seni yang hidup dalam belenggu orang politik yang senantiasa bergelut untuk terus berkuasa dan mendapat jaminan kekal bertakhta.

Sebagai pengkarya, penggiat dan pekerja industri, tidak banyak pilihan yang ada pada tangan orang yang disebutkan dalam kenyataan Mad Noor tadi. Kebenaran itu memperlihatkan ramai sekali pekerja dalam industri ini terus hidup miskin, menjadi tua lalu mati dalam kemiskinan.

Namun apa yang tidak jelas kelihatan - tapi tetap wujud - pada kenyataan Mad Noor itu ialah suara kesedaran yang diperdengarkan. 

Justeru pilihan yang ada hanyalah mencari jalan agar tidak terus-menerus menjadi mangsa permainan politik, dengan cara menggunakan kuasa politik itu sendiri.

Bak kata Orwell: “Pendapat bahawa seni tidak ada kaitan dengan politik itu sendiri adalah merupakan suatu sikap politik.”

Seni itu sememangnya politik.


HARIS HAUZAH adalah penulis yang percaya dirinya juga seorang politikus dan yakin semua orang pun merupakan ahli politik tetapi buta dan bergantung kepada seni untuk mencelikkan mata masing-masing.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS