Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Empat langkah Finas bantu aktivis seni
Diterbitkan:  Jun 5, 2020 1:24 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) menggariskan empat keputusan penting yang diambil dalam meningkatkan pembangunan industri filem dan pemerkasaan ekonomi penggiat seni.

Empat tindakan tersebut diputuskan dalam mesyuarat ahli perbadanan Finas yang diketuai pengerusi, Zakaria Abdul Hamid, semalam.

Finas dalam kenyataannya menyebut, untuk langkah jangka pendek tiga bulan ini, usaha khusus akan disegerakan iaitu merangsang semula ekonomi industri melalui aktiviti pengeluaran filem.

“Ia dengan mengusahakan kebenaran bersyarat bagi aktiviti penggambaran mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Selain itu, Finas akan mempercepatkan proses penyaluran dana di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) serta penstrukturan semula Insentif Penggambaran di Malaysia kepada sektor domestik,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Finas akan menyediakan insentif khas kepada penggiat industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pemberian diskaun 50 peratus bagi sewaan fasiliti, alatan produksi dan pembelian futej di bawah badan itu untuk penggunaan bernilai RM1,000 dan ke atas.

“Selain itu, Finas akan membantu karyawan dan penggiat industri yang uzur, sakit, kurang upaya dan tidak berkemampuan dengan bantuan kebajikan di mana data para penggiat akan dikemas kini bagi tujuan penyaluran,” katanya.

Finas juga akan memperkukuhkan sinergi industri di antara lembaga itu dan pemegang taruh melalui penubuhan jawatankuasa kerja yang akan diketuai seorang ahli perbadanan serta dianggotai lima orang wakil pemegang taruh industri yang akan memberi fokus kepada portfolio masing-masing.

“Antara bidang tugas itu adalah Timbalan Pengerusi Finas, Norman Abdul Halim akan mengetuai portfolio Pembangunan Industri, Pemasaran Antarabangsa dan Kandungan Animasi, Eizlan Yusof (Hal Ehwal Warga Industri dan Kebajikan), serta Prof Dr. Abdul Razak Mohaideen (Akreditasi, Latihan Kemahiran dan Pembangunan Modal Insan),” kata kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS