Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fizi dah mohon maaf, Upin dan Ipin pujuk jangan nangis

Seperti dijanjikan, pihak produksi Les’ Copaque akhirnya muncul dengan karakter Fizi - daripada siri animasi terkenal Upin Ipin - yang tampil memohon maaf susulan kontroversi berkaitan episod Syahdunya Syawal disiarkan di MNCTV, Indonesia.

Permohonan maaf tersebut disiarkan melalui saluran YouTube rasmi Les’ Copaque Production Channel hari ini.

Menerusi video terbabit, Fizi mengakui, dia sebenarnya tidak sengaja dan terlanjur menuturkan dialog kepada Upin dan Ipin.

“Saya Fizi, berdirinya di sini untuk memohon maaf pada Upin dan Ipin. Fizi tak sengaja salah cakap hari tu. Pastu (selepas itu) Mail cubit.

“Fizi dah insaf, janganlah marah Fizi lagi,” katanya melalui video berdurasi lebih lima minit itu.

Upin dan Ipin kemudian dipaparkan membalas permohonan maaf tersebut dengan berkata: “Fizi, jangan menangis, kita orang dah maafkan dah pun, kita kan sahabat selamanya.”

Pada 31 Mei lalu, dialog Fizi dalam episod disiarkan pada hari raya pertama itu mengundang perhatian warganet Indonesia dan Malaysia apabila menyentuh persoalan kedudukan syurga untuk anak-anak yatim.

Ia mengundang polemik dalam kalangan pengguna Internet akibat Fizi melontarkan dialog “kalau tak ada ibu, tak adalah syurga". Ia disebabkan, peminat sedia maklum Upin dan Ipin adalah anak-anak yatim dan menumpang kasih pada nenek mereka yang dipanggil Opah.

Anggap cuma mahu bergurau

Susulan itu, ungkapan "Fizi is cancelled" menjadi sohor kini di media sosial terutama Twitter. Melalui ruangan komen di media sosial, peminat Indonesia turut menggesa agar Fizi segera meminta maaf.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, pengarah Khairul Aimran atau Kim berkata, sebagai individu berada di sebalik tabir yang menyiapkan episod berkenaan, dia ingin bertanggungjawab dengan setiap maklumat dihasilkan.

“Benda dah tular, seboleh-bolehnya kami tak nak terputus hubungan dengan penonton.

"Jadi ada rasa tanggungjawab dengan maklumat kita sampaikan sebab apabila Fizi berkata demikian, Upin dan Ipin terus balik bertanya hal tu pada Opah mereka.

“Saya sebagai pengarah, mahu sampaikan perkara yang betul terutama kalau kanak-kanak tak faham sesuatu perkara. Saya tak mahu mereka buat spekulasi sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas perkembangan Upin dan Ipin di Indonesia yang memasuki musim ke-14, Khairul berkata, dia melihat ia sebagai sesuatu yang baik.

“Komen-komen mereka tu sebenar saja nak menyakat, sebab Upin dan Ipin dah dapat tempat di hati mereka.

"Saya anggap mereka bergurau. Saya suka hubungan terjalin antara Malaysia dan Indonesia melalui Upin dan Ipin yang disifatkan baik,” katanya. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS