Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dalam keadaan beginilah orang industri filem menyambut raya

ULASAN | Sewaktu negara ini belum Merdeka, iaitu pada bulan Ogos 1949,  dalam satu kolum tulisannya di Majallah Kenchana, Dr Burhanuddin Al Helmi ada menuliskan sesuatu untuk hari ini kita tanggapi sebagai sebuah sejarah hari raya yang harus kita kenang.

Dengan tajuk Selamat Hari Raya Puasa, Dr Burhanuddin menulis;

“Dalam kuasa-kuasa atau kerajaan-kerajaan besar di seluroh dunia sekarang memperjuangkan dengan hebatnya ideologi masing-masing selaku peperangan dingin. Dan di sekitar tanah ayer kita dikelubongi dengan mendung dzarurat. Keadaan bangsa dan tanah ayer kita dalam dzarurat dan chemas. Pertarungan faham politik kebangsaan kita di antara Kiri dan Kanan.

“Pertelingkahan dan keributan timbul pula dalam golongan Kanan sendiri disebabkan anasir-anasir mempertopengkan Kebangsaan untok merebut kepentingan diri dan kerosi, orang-orang yang ta’mempunyai principle atau pendirian ta’kurang terkeliru dan dikelirukan..........”

“Dalam keadaan yang demikianlah kita menyambut Hari Raya.”

Tulisan itu ditulis Dr Burhanuddin kurang lebih lapan tahun sebelum 31 Ogos 1957, iaitu lapan tahun sebelum buku-buku sejarah ditulis, dicetak, disemak dan kemudian diedarkan pada seluruh khalayak untuk dibaca dan dipelajari.

Hasilnya kita semua hanya mengenang sebahagian sejarah yang disua suapkan oleh suatu perikatan parti yang menciptakan sejarahnya sendiri.

Winston Churchill seorang imperialis Inggeris dan juga salah seorang perdana menteri Britain yang pernah menjajah kita itu pernah berkata; “History is written by the victors.”

Sejarah yang didiamkan

Memang demikianlah hakikat dan kenyataannya. Sejarah itu ditulis oleh mereka yang menang dan rakyat hanya disumbat dengan sejarah dari sebelah pihak sahaja.

Lantas kerana itu nama seperti Dr Burhanuddin Al Helmi banyak sekali ditinggalkan, disingkap, didiamkan dan malah ada yang dihilangkan terus dari sejarah survival negara.

Hari ini pada 24 May 2020, iaitu ditengah situasi suram industri dan kelam warga kerja perfileman hilang kerja dan tak cukup makan, satu sejarah baru telah dicatatkan oleh mereka yang berkuasa.

Bahawa industri bukan essensial negara ini akan dipimpin oleh seorang “makhluk politik” yang pernah dituliskan oleh Dr Burhanuddin pada tahun 1949 dengan kata; “dalam keadaan yang demikianlah kita menyambut Hari Raya.”

Dr Burhanuddin Al Helmi

Semalam, buat julung-julung kalinya industri yang dicanang sebagai penyumbang kira-kira 1.27 peratus hasil kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Secara rasmi telah melantik seorang bekas ketua cabang parti PKR yang telah dipecat partinya kerana didakwa menyalahgunakan kedudukan dan kuasa.

Ya, sebagaimana kata Dr Burhanuddin dalam tulisannya pada 1949 itu, “Dalam keadaan yang demikianlah kita menyambut Hari Raya.”

Industri perfileman negara ini sebagaimana apa yang telah berkali-kali diungkapkan oleh kita, ia sememangnya sudah terlalu lama diabai dan sengaja dibiarkan tempang tanpa pernah mahu dipandang dan dipedulikan sesiapa.

Itulah kenyataan yang harus sekalian para penggiat industri telan dan terima dalam realiti industri seni yang kian terdesak dengan segala macam perubahan yang berpaksikan kuasa.

Isu dan kemelut politik pada Ogos 1942 yang dicatatkan oleh Dr Burhanuddin itu boleh jadi tidak sebiji sama dengan isu dan kemelut politik pada hari ini. Namun percaturan dan sepak terajangnya tetap serupa.

Malahan kebinatangan politik hari ini lebih parah lagi kerana ia langsung tak dapat dinasihat dan diubati dengan agama.

Pertelingkahan dan perebutan kedudukan, jawatan, kerusi dan kuasa adalah menjadi perjuangan utama. Sementara bagi mereka yang tak tetap pendirian dan lemah dalam prinsip dan sikap perjuangannya, akan dengan mudah jadi terkeliru dan dikelirukan dengan segala macam tabayyyun buta dan faham-faham ideologi yang boleh jadi saja berslogankan politik bangsa dan agama.

Menurut Dr Burhanuddin, pertelingkahan dan keributan yang timbul dalam golongan arus perdana adalah kerana disebabkan oleh anasir-anasir yang bertopengkan kebangsaan.

Mereka yang berucap depan rakyat dengan seruan-seruan; “hentikanlah permainan politik tidak berkesudahan dan jangan pertaruhkan nasib rakyat sekelian” itulah antara jenis-jenis anasir yang bertopengkan kebangsaan.

Habuan politik

Lihat saja perkembangan yang ada pada hari ini. Di tengah kemelut ekonomi dan krisis pandemik yang masih belum nampak ada tanda mahu berhenti, pada ketika itulah lantikan politik secara besar-besaran dibuat di semua GLC.

Malah sebelum itu lagi kerajaan yang dibentuk melalui suatu kerja pengkhianatan yang ada pada hari ini, telah membentuk suatu barisan jemaah menteri bersaiz gergasi.

Dengan lantikan lebih 70 orang disertai oleh banyak sekali timbalan termasuk presiden PAS yang diberi habuan menjadi duta bertaraf menteri. Dalam keadaan yang demikianlah kita menyambut Hari Raya kali ini.

Mungkin apa yang dituliskan Dr Burhanuddin itu wajar kita tanggapi dengan sepotong riwayat yang diriwayatkan oleh Imam al–Hakim.

Diceritakan pada saat Saidina Umar keluar dia terlihat suatu kumpulan rakyat. Lalu Saidina Umar pun singgah dan bertanya tentang apakah yang sedang sekelian mereka lakukan?

Soalan Saidina Umar itu dijawab dengan kata; “kami sangat bercita-cita dan mengharapkan sesuatu.”

Jawapan itu menarik minat Saidina Umar lalu bertanya apakah perkara yang dicita-citakan mereka? Ternyata kesemua mereka menjawab mahukan bilik yang sedang diduduki mereka itu dipenuhi dengan zabarjad, intan permata dan emas berharga. Kerana dengan itu maka dapatlah mereka bersedekah dan digunakan pada jalan agama.

Kemudian apabila sampai giliran Saidina Umar menjawab soalan itu dari sekalian rakyatnya. Saidina Umar menjawab bahawa dia tidak menginginkan sebagaimana apa yang dikehendakkan oleh mereka semua.

Saidina Umar tidak mahukan intan dan permata, sebaliknya dia mahukan bilik itu dipenuhi dengan insan-insan terbilang yang pintar dan setia dengan kebenaran dan keadilan seperti Abu Ubaidah al-Jarah dan sahabat-sahabat hebat yang lainnya. Supaya mereka menjadi contoh tauladan dalam agama tanpa mengharapkan apa jua balasan dunia.

Dr Burhanuddin menulis lagi; “Perchayalah iman yang tegoh dan chita-chita yang suchi saja yang kekal abadi yang dapat diperjuangkan terus menerus. Sabagaimana orang yang beriman itu sanggup menanggong sengit, pahit, lapar, dahaga dan deritaan puasa. Kesengitan dan deritaan itu terus ditanggong hingga siap semporna menyambut Hari Raya ini dengan rasa renak hati yang taqwa dan jiwa yang berbahagia.”

Perjuangan kita dalam industri filem ini baru saja kembali bermula, selamat hari raya.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS