Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pengacara dan personaliti televisyen, Amin Idris, dipanggil memberi keterangan kepada polis hari ini susulan aduan dibuat seorang ustaz terhadapnya.

Amin berkata, dia yang ditemani peguamnya Noorazmir Zakaria hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar jam 10.30 pagi tadi dan selesai memberi keterangan pada jam 12.45 tengah hari.

“Saya dipanggil hadir ke balai selepas Abu Syafiq membuat laporan polis dan bagi tindakan susulan,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Amin yang juga penyampai motivasi itu, dia memberikan kerjasama baik sepanjang proses tersebut berjalan.

“Saya beri kerjasama dengan pihak polis dan memberi segala keterangan tanpa menyembunyikan walaupun satu fakta.

“Malaysia, doakan saya,” katanya.

Sementara itu, Noorazmir berkata, Amin dipanggil memberi keterangan bagi kenyataan fitnah yang dilaporkan Abu Syafiq terhadapnya.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Ketua Polis Daerah Dang Wangi bagi mengesahkan perkara berkenaan.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan, pendakwah bebas dikenali sebagai Abu Syafiq memfailkan saman terhadap Amin selepas dia enggan membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam kenyataan didakwanya berbaur fitnah.

Dalam notis tuntutan yang diserahkan 24 April lalu, Amin dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka selain membayar pampasan berjumlah RM1 juta dalam tempoh seminggu kerana didakwa menjatuhkan reputasi Abu Syafiq di media sosial. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS