Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ogy dakwa dah mula bayar hutang hasil jualan pes kari
Diterbitkan:  May 19, 2020 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Ketika berdepan asakan agar melunaskan hutang kepada pelakon dan krunya, penerbit Ogy Ahmad Daud menyatakan dia sudah berjaya membayar enam daripada mereka melalui hasil jualan pes karinya.

Bersama mengiringi kenyataannya di Instagram, Ogy berkata Pes Kari Ogy's terjual 557 balang setakat 17 Mei lalu dan meraih RM15,596.

Ogy yang juga pengarah dan pelakon itu berkata, meskipun ramai yang masih belum dibayar, dia tetap akan berusaha untuk mendapatkan dana kerana memahami sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah semakin hampir.

“Terlalu bersyukur. Dari hasil jualan kempen pes kari ni saya dapat bayar enam orang yang terlibat dalam teater tu.

“Memang ramai lagi belum dibayar dan saya masih berusaha nak dapatkan dana kerana memahami mereka nak beraya,” katanya di Instagram.

Pada masa sama, pemilik Syarikat Ogy Ventures & Network Sdn Bhd itu mengulangi pendiriannya tidak mengambil sebarang keuntungan hasil jualan tiket teater yang dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Saya takkan putus bermohon, berdoa pada Allah kerana saya wajib bayar hutang-hutang ni walaupun saya tak ambil satu sen pun duit hasil jualan tiket.

“Bukan salah saya pun dengan apa yang terjadi tetapi saya harus menjaga maruah orang lain yang terlibat.

“Biar saya dikecam, tapi saya tak akan lari daripada tanggungjawab saya untuk menyelesaikan hutang-hutang ni. Lambat atau cepat saya tetap akan bayar,” katanya.

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan individu yang menerima bayaran tersebut kerana Ogy ketika dihubungi enggan mengulas lanjut perkara terbabit.

Isu produksi Ogy gagal melunaskan baki bayaran pelakon teater Korupsi Dewan Semandung tiba-tiba muncul selepas seorang demi seorang pelakon termasuk pengarah, Khir Rahman bersuara di media sosial.

Untuk rekod, Korupsi Dewan Semandung dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Susulan itu, seorang pelakon teater yang juga bekas peserta Raja Lawak iaitu Che Mad Daud pula membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn Cheras pada 1 Mei lalu.

Dua hari sebelum laporan ini ditulis, Khir Rahman berkongsi ciapan di akaun Twitter miliknya mendakwa Ogy masih mungkir janji dan memohon pelakon Ali Setan itu menunaikan amanahnya sebagai penerbit.

“Saya doa agar kemelut ni segera selesai kerana buat kali pertamanya, saya akan secara konsisten akan kemas kini isu ni sehinggalah kami dibayar habis,” ciapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS