mk-logo
Seni & Hiburan
Persatuan penerbit tak sanggup tunggu penggambaran mula lepas raya
Diterbitkan:  May 15, 2020 11:50 PM
Dikemaskini: May 17, 2020 1:59 AM

Penerbit tempatan berpendapat, mereka terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan kebenaran menjalani penggambaran jika Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hanya akan membuat pertimbangan mengenainya selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sebaliknya kata empat persatuan penerbit mewakili industri kreatif iaitu Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Dokumentari Malaysia (MyDocs) dan Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), mereka meminta agar perbincangan diadakan segera KKMM untuk memahamkan kerajaan realiti dan masalah yang dihadapi.

Menurut Presiden PFM, Pansha, isu terbabit perlu diselesaikan dengan segera memandangkan semua tenaga kerja berada dalam keadaan 'tenat' ekoran tidak mempunyai sumber pendapatan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kru minta bantuan penerbit, ada segelintir daripada mereka boleh membantu, tapi berapa lama rasa-rasanya keadaan itu boleh berterusan sedangkan ada syarikat sudah gulung tikar kerana tak mampu bayar sewa mahupun gaji.

“Justeru, kami tak berpendapat perkara ni harus dipertimbangkan hanya selepas Hari Raya Aidilftri kerana masalah dihidapi adalah kritikal dan perlu diberi keutamaan. Kami harap KKMM dapat bertindak segera dengan memanggil kami untuk duduk berbincang sekali bersama Finas berhubung tarikh dibenarkan beroperasi kembali.

“Kami tiada masalah untuk berunding mengenai prosedur operasi standard (SOP) isu di sini ialah bilakah kami boleh memulakan penggambaran?” Soalnya selaku salah seorang panelis pada majlis forum dalam talian berjudul No One Left Behind  hari ini.

Lintas langsung forum melalui Facebook itu anjuran Malaysia Freelance Production Crew yang turut menampilkan tiga lagi speaker iaitu Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli, Pengarah Eksekutif MyDocs dan Presiden PPFIM, Koo Kay Lye. No One Left behind dikendalikan moderator, Lina Tan dari Red Comm.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan penggiat seni antara yang terjejas kerana tidak dibenarkan menjalani penggambaran susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Susulan perkara tersebut, satu surat terbuka sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin oleh empat persatuan terbabit bagi merayu kebenaran untuk menjalankan aktiviti penggambaran bermula 1 Jun ini. Turut disertakan cadangan SOP yang boleh dilaksanakan semasa penggambaran untuk menjaga keselamatan dan kesihatan tenaga kerja produksi.

Semalam, KKMM dalam kenyataannya berkata, SOP bagi aktiviti penggambaran dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dibawa ke mesyuarat khas menteri-menteri. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah hari ini dipetik Bernama berkata kementeriannya telah membentangkan SOP yang dikemukakan persatuan penggiat seni dan filem dalam mesyuarat khas mengenai Covid-19.

"SOP itu telah dibentang pada Selasa lepas namun belum ada keputusan kerana jawatankuasa dan Majlis Keselamatan Negara masih menilai kesesuaian untuk diberi kelulusan dan kita banyak bergantung kepada perkembangan terkini ‘peperangan’ kita dengan Covid-19.

"Pengambaran memang boleh kita buat dengan penjarakan sosial tetapi yang timbul nanti adalah bagaimana sesuatu latar itu hendak dijalankan.

“Memang SOP mencadangkan tiada sentuhan tetapi kena lihat skrip juga…kita bincang panjang lebar di mesyuarat itu, kita cuba terbaik untuk meyakinkan mereka tetapi keputusan itu belum dibuat lagi dan sedang dipertimbangkan," katanya.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sewaktu sidang media di Putrajaya yang disiar secara langsung hari ini pula berkata, kerajaan hanya akan mempertimbangkan untuk membenarkan kegiatan penggambaran diteruskan semula ketika tempoh PKPB selepas Hari Raya Aidilfitri ini. 

Sementara itu, Jurey pula menggesa agar perbincangan tersebut dapat diadakan sebelum sambutan perayaan Aidilfitri memandangkan proses memulakan penggambaran memang memakan masa.

“Bukan bagi kebenaran hari ni, malam nanti dah boleh mula penggambaran. Tidak. Kita perlu bincang sekarang untuk mendapatkan ketetapan supaya penerbit boleh merancang jadual produksi atau aturan aliran wang tunai dan sebagainya terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, sesebuah set penggambaran lebih mudah dipantau gejala rantaian Covid-19 berbanding pusat beli-belah atau stesen transit aliran yang dibuka kepada orang ramai, kerana jangkitan akan menjadi berskala besar.

“Sekurang-kurang kami boleh ketahui siapa yang dijangkiti atau tak. Hanya perlu tambah SOP lain seperti penggunaan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman misalnya. Kita juga tak ada babak berpelukan atau berciuman sebab semuanya patuh syariah,” katanya.

Sementara itu, Lina berkata, Finas perlu mengambil inisiatif dengan bekerjasama bersama KKMM bagi menggubah atau merancang SOP diperlukan dalam memberikan kelulusan penggambaran kepada penerbit.

“Isu ni perlu diselesaikan dengan kerjasama Finas sekali. Kami tak ada kuasa untuk menggubah SOP kerana bukan agensi kerajaan. Tapi kami yang bekerja di set, kami yang hasilkan kandungan, kami tahu bagaimana untuk melindungi kru semasa penggambaran.

“Industri kita dipenuhi oleh petugas-petugas free lances, bagaimana mereka nak berjaya harungi tempoh ni untuk beri makan pada keluarga jika tak bekerja.

“Apabila ada pihak berkata mereka akan memikirkannya (pertimbangkan kebenaran penggambaran selepas Aidilfitri) itu adalah sesuatu yang bagus, tapi ia sebenarnya tak membantu pun,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS