Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
SOP 'shooting' dibawa ke mesyuarat khas menteri
Diterbitkan:  May 14, 2020 8:26 PM
Dikemaskini: 12:31 PM

Cadangan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti penggambaran dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dibawa ke mesyuarat khas menteri-menteri pada hari ini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam kenyataan berkata kementerian itu telah menerima permohonan daripada pelbagai persatuan bagi mendapatkan kebenaran untuk menjalankan aktiviti penggambaran.

"Kementerian juga menerima pelbagai cadangan SOP bagi aktiviti penggambaran daripada persatuan filem tempatan dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah pun meneliti SOP tersebut.

"Cadangan SOP tersebut telah dibawa untuk pertimbangan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bilangan 42, Tahun 2020 pada hari ini," jelasnya.

Kementerian itu berkata mesyuarat berkenaan akan memutuskan pelaksanaan SOP tersebut dalam masa terdekat setelah meneliti impak pelaksanaan PKPB dan kesan pembukaan semula operasi sektor ekonomi.

"KKMM akan sentiasa berusaha bagi memastikan Industri Kreatif terus berkembang pesat dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," jelasnya lagi.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli telah menulis surat kepada KKMM untuk meminta diberikan kelonggaran menjalankan penggambaran.

Jurey berkata pihaknya berharap KKMM memanjangkan isu berkenaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang kini hanya membenarkan sektor tertentu saja untuk beroperasi semasa pelaksanaan PKPB.

Selasa lalu, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London turut membangkitkan perkara sama.

"Kami penggiat seni nak shooting minggu ini. Kami bersedia dan akur dengan SOP yang ada. Mohon kelulusan," katanya dalam laman Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS