Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Imej tular kerusi panggung berkulapuk bukan dari GSC, TGV

Dua syarikat panggung wayang utama negara hari ini tampil membuat penjelasan berhubung beberapa gambar tular menunjukkan kerusi pawagam masing-masing berkulat kesan penutupan ekonomi kerana Covid-19.

Menurut jurucakap Golden Screen Cinemas (GSC), imej tular terbabit bukan diambil dari mana-mana lokasi panggung yang dikendalikan syarikat berkenaan.

"Imej tempat duduk panggung wayang berkulapuk itu bukan dari panggung GSC," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, tular imej memaparkan kerusi-kerusi panggung berwarna ungu dan merah dipenuhi kulat kononnya susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan hampir dua bulan lalu sejak 18 Mac lalu.

Imej tersebut juga memaparkan karpet menghiasi pawagam berkenaan turut dipenuhi kulapuk.

Perkongsian itu dimuat naik seorang netizen melalui Facebook. Bagaimanapun, tiada butiran lanjut atau dinyatakan di mana lokasi imej tersebut dirakamkan.

Mengulas lanjut, GSC berkata, mereka mengikuti garis panduan ketat bagi mengekalkan keadaan pawagam sejak hari pertama PKP dilaksanakan.

Menurut jurucakap berkenaan, selang sehari, GSC akan mengalihkan udara (ventilate) di panggung dan menghidupkan alat penghawa dingin selama beberapa jam.

"Kami melakukan pemeriksaan kulapuk di semua dewan dan tempat duduk, termasuk menjalankan pemeriksaan yang betul.

"Selain itu, kerja-kerja memanaskan dan menjalankan projektor juga dilakukan bagi mengekalkan mutu peralatan.

"Oleh kerana tidak beroperasi, adalah mustahak untuk memberi perhatian dan mengambil langkah berjaga-jaga agar pawagam kami tetap dalam keadaan baik serta dalam keadaan bersiap sedia untuk menyambut penonton sebaik panggung dibuka kembali," katanya.

Sementara itu, jurucakap TGV Cinemas pula memaklumkan imej tular terbabit juga bukan dirakam dari mana-mana lokasi panggung di bawah syarikat mereka.

"Kami telah melakukan siasatan dalam secara menyeluruh dan dapat mengesahkan sepenuhnya bahawa imej yang tular di media sosial bukanlah mewakili dari mana-mana dewan pawagam kami," katanya.

Menurutnya, TGV memainkan peranan khas untuk tujuan sosial selain berfungsi agar orang ramai dapat berkumpul dan berhibur.

Justeru, katanya, kesihatan dan keselamatan pelanggan serta pekerja menjadi aspek keutamaan yang amat dititikberatkan.

"Itulah sebabnya kami memastikan bahawa langkah keselamatan dipertingkatkan dan akan dilaksanakan di semua lokasi semasa penutupan panggung.

"Maklumat lebih lanjut mengenai standard keselamatan yang komprehensif akan segera dikongsi di saluran digital kami," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS