Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

"We know how to bring the economy back to life. What we do not know is how to bring people back to life. We will, therefore, protect people’s lives, then their livelihoods.”

Kata-kata itu bukan dipetik dari kurma madu kata-kata Muhyiddin Yassin. Ia juga bukan datang dari ciapan Azmin Ali yang lucu, dan tentu saja bukan ungkap-ungkap kelegaan bermodal RM250 bilion yang keluar dari mulut Tengku Zafrul Aziz dalam sidang medianya dulu.

Kata-kata kemanusiaan itu milik William Addo Dankwa 'Nana' Akufo-Addo. Dia ialah presiden ke-12 sebuah negara dunia ketiga yang terletak di benua tandus Afrika. Ghana namanya.

Tidak seperti usikan nakal “hehehe” atau “kesian” seorang menteri Malaysia di Twitter baru-baru ini, ciapan Nana pada 28 Mac lalu itu menghuraikan sesuatu yang penting tentang kaitan di antara ekonomi dan kehidupan.

Dalam hidup ini sememangnya ada banyak sekali kita berdepan pengkhianatan. Langkah Sheraton yang jadi kemegahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu hanyalah satu daripada sekian banyak "pengkhianatan" yang sempat kita lihat.

Sebahagiannya lagi akan datang dalam pelbagai bentuk sama ada lemak, masam, manis atau temberang yang berkabornat.

Daripada upah keringat para karyawan yang tidak dilangsaikan, juga kisah sembilan negeri yang enggan membuka segera ekonomi masing-masing dan diperingatkan tentang tindakan perundangan yang mungkin dihadapi, perintah kawalan pergerakan (PKP) memang membuat kita kelelahan.

Payah untuk ditelan

Hari ini ada teman-teman yang hilang mata pencarian. Ada kawan yang tidak lagi menerima bayaran elaun, saudara-mara yang dipotong gaji, anak-anak yang diminta untuk bercuti selama enam bulan tanpa gaji dan tak kurang yang dipaksa untuk meletakkan jawatan.

Ternyata musim Covid-19 ini mengajar kita tentang apa itu kehidupan. Kebiasaan baru yang disebut-sebutkan itu rupa-rupanya adalah hidup serba kekurangan, hidup tanpa wang dan pekerjaan yang selama ini menjadi maruah dan kemegahan. Ia meledak tanpa sempat kita buat banyak persediaan.

Tanpa wang simpanan mencukupi, perniagaan dan pekerjaan yang terpaksa ditinggalkan sementara. Semua itu membuat kita menjadi tak keruan.

Bagi sesetengah orang, arahan duduk di rumah yang terkandung dalam PKP itu ibarat suatu keterasingan yang amat payah sekali untuk ditelan, kerana bersamanya ada terlalu banyak kehilangan.

Ia seakan-akan filem Into The Wild yang berkisah mengenai perjalanan jauh Christopher McCandless sebelum dia menamakan semula dirinya sebagai Alexander Supertramp.

Dia menjelajah makna keterasingan, menerjah masuk jauh ke lembah sunyi dan sejuk penuh asing dalam kesendirian.

Filem Into The Wild arahan Sean Penn merupakan karya adaptasi daripada autobiografi karangan Jon Krakauer tentang Supertramp yang merentas jajaran jauh Amerika Utara hingga ke gurun asing Alaska yang sunyi dan liar pada awal-awal 1990-an.

Mendengar daripada Nana

Into The Wild akan menyentak pegangan kita terhadap realiti kehidupan. Ia membuat kita terjaga daripada tidur lama yang lena. Kita kemudian bangun lalu merenung semula makna setiap inci makna keselesaan hidup serta segala kedangkalan masyarakat yang dikongkong sistem hipokrasi politikus dan kerakusan pemodal.

Ketika ramai remaja mudah terbau syurga tatkala ditawarkan kereta baru setelah menamatkan pengajian, Supertramp sebaliknya langsung tidak terpesona.

Tentu itu tidak akan mampu dilakukan oleh mana-mana ahli parlimen. Malah sesetengah ustaz muda yang menjadi yang berhormat pun kadang-kadang gagal menyembunyikan rasa teruja masing-masing apabila dilamar dengan jawatan dan kemewahan.

Into The Wild membuat kita bertanya apakah yang kita takut dan perlukan dalam hidup ini sebenarnya. Untuk mendengar kata manusiawi pun kita perlu ke Ghana sana untuk mendengarnya daripada Nana.

Nana Akufo-Addo

Bertindak ala Trump demi ekonomi bagi mengelak lebih banyak kerugiaan mungkin boleh dipersoalkan dengan motif politik dan ekonomi.

Pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid ada berkata: "Pada waktu kecemasan beginilah masanya untuk kita berbelanja untuk rakyat, dan gunakan simpanan negara seperti Kumpulan Wang Amanah Negara yang berjumlah hampir RM17 bilion, dan rizab negara yang melebihi RM400 bilion. Apa gunanya menyimpan sehingga beratus bilion ringgit jika tidak mahu menggunakannya semasa kecemasan sebegini ?.”

Ya, inilah sebahagian daripada fungsi simpanan negara.

Fikirkan ekonomi dan wang

Polisi seberani "whatever it takes" demi memastikan rakyat dapat terus hidup lebih selamat tidak diusahakan bersungguh-sungguh. Sebaliknya kerajaan membuka ekonomi sewaktu kes baru Covid-19 masih tidak menentu.

Di bahu rakyat pihak yang berkuasa meletakkan beban kemungkinan jangkitan itu akan datang kembali pada bila-bila masa saja jika melakukan banyak kesilapan.

Kehidupan rakyat tidak seharusnya diletak pada pengiraan defisit fiskal, pengaturan untung rugi korporat, kadar pertumbuhan ekonomi dan terlalu sibukkan tanggapan dari agensi rating kredit.

Segala hal yang terkait dengan Bank Negara, KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu penerangan yang lebih jelas. Rakyat harus mengetahui dari mana sumber wang sebanyak RM250 bilion yang kerajaan gunakan untuk diberikan kepada rakyat. Segala isu yang bersangkutan dengan rakyat harus diperjelaskan dengan bahasa mudah.

Atau apakah mungkin saranan Muhammed itu mustahil untuk dilakukan kerana kerajaan ada niat menyimpan lebih banyak wang simpanan bagi menghadapi gelombang politik tidak lama lagi. Pilihan raya umum ke-15 misalnya?

Into The Wild akan membersihkan tanggapan kotor kita terhadap kehidupan yang bersumberkan kebendaan. Seperti kata Supertramp yang membakar wang dan meninggalkan keretanya di tengah perjalanan: “I’m going to Alaska, I’m gonna be all the way out there. Just on my own. No watch, no map, no ax, no nothing. Just be out there in it.”

Naratif filem ini diatur mengikut bab dan dikisahkan secara jungkir balik yang berulang. Begitulah kehidupan sebenar yang ditentang Supertramp. Sebagaimana kerajaan yang hanya fikir tentang ekonomi dan wang.

Sementara kita pula khuatir jadi kurus ketiadaan wang dan akan mati hina kebuluran.


HARIS HAUZAH ialah penulis yang menghabiskan masa sepanjang PKP dengan berada di luar sambil melihat manusia yang memang payah melakukan penjarakan sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS