Walaupun tidak mengadakan majlis seperti biasa, pelakon Ayda Jebat mengaku pengalaman mengikat tali pertunangan bersama pengacara Nabil Mahir secara dalam talian semalam tetap menggembirakan.
Ayda berkata, majlis diadakan menggunakan aplikasi Google Meet itu dilaksanakan sebagai mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP).
Menurutnya, kaedah yang amat bersesuaian dengan situasi dalam negara sekarang itu dianggap cara terbaik untuk berbincang dengan keluarga kedua belah pihak yang berlangsung dari kediaman masing-masing di ibu negara.
"Walaupun tidak dapat bertentang mata seperti majlis orang lain, tapi saya masih rasakan apa yang orang lain rasa.
"Kami gembira dapat merealisasikan kehendak keluarga mengikut adat. Jika diikutkan memang tiada majlis bertunang.
"Tapi demi permintaan keluarga kami tidak mahu menghampakan mereka," katanya dipetik Harian Metro.
Lamaran pada malam hari lahir
Kata Ayda, sebelum majlis itu diadakan, mereka ada memikirkan untuk menangguhkan pertunangan ekoran PKP, namun keluarga meminta disegerakan.
"Sejak PKP, kami memang terfikir untuk tunda bertunang, tapi keluarga Nabil mahu majlis ini berlangsung dengan cepat.
"Kalau boleh, mereka mahu kami bernikah secepat mungkin, tidak mahu tunggu lagi.
"Jadi, bagi menghormati permintaan keluarga, saya dan Nabil tampil dengan idea menganjurkan majlis bertunang secara dalam talian sempena sambutan ulang tahun kelahiran Nabil ke-32," katanya.
Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Temberang itu belum dapat berkongsi butiran lanjut mengenai tarikh perkahwinan apabila diminta mengulas demikian.
"Tarikh sudah ditetapkan tapi masih belum dapat saya kongsikan. Jangan risau, kami akan umumkan nanti," katanya.
Majlis bertunang dalam talian itu disertai kira-kira 20 ahli keluarga kedua-dua pihak.
Ayda berkata, keputusan untuk bertunang dan menamatkan zaman bujang dengan Nabil dilakukan selepas hampir setahun mereka berkenalan
"Memang saya mengharapkan hubungan kami sampai ke tahap ini. Saya sudah bersedia untuk bergelar isteri dan tidak mahu membuang masa.
"Saya juga sudah berusia 28 tahun, tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua untuk berkahwin," katanya.
Sebelum ini, Nabil melamar Ayda ketika malam sambutan hari jadinya yang ke-28 pada 17 Mac lalu.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.