Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Shukri dilaporkan mengakui hakikat bahawa golongan kreatif berdepan masa yang sukar susulan Covid-19.
Menurut portal dalam talian Free Malaysia Today, Nancy sudah menyampaikan kepada Persatuan Pemuzik Tempatan Selangor (PPTS) bahawa beliau faham kesan Covid-19 terhadap pemuzik dari segi "kewangan dan emosi".
Nancy dilapor berkata demikian sebagai respon terhadap PPTS yang menyampaikan kepadanya pandangan ahli muzik yang tersinggung dengan kenyataannya dalam satu program program bual bicara Astro Awani pada Jumaat lalu.
"Tidak, itu sebabnya saya katakan. Seni sebagai pelengkap. [...] Seni sebenarnya berada di barisan hadapan kerana ia adalah yang paling cepat pulih, banyak orang sangat berminat dalam apa mereka lakukan," katanya.
Dalam program bual bicara Astro Awani sebelum ini, Nancy dilaporkan berkata: "mereka dalam kumpulan muzik dan pemuzik…tidaklah terlalu sukar bagi mereka kerana mudah bagi mereka untuk merancang dan kami sentiasa responsif terhadap mereka. Kebimbangan saya sekarang adalah mereka di agensi pelancongan…”
Nancy juga dilapor berkata kerajaan tidak akan mengenepikan seni dalam usaha menghidupkan semula sektor pelancongan kerana ia merupakan "pelengkap".
Susulan itu, Nancy dikritik sebagai "tidak faham" dan "tidak peka" terhadap keperluan industri.
Sementara itu, dalam laporan FMT, Nancy juga dilaporkan mengundang PPTS dan organisasi lain yang mewakili industri untuk bertemu bagi mencari jalan keluar terhadap masalah yang dihadapi penggiat seni dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah juga dilaporkan bertemu dengan wakil pemuzik daripada pelbagai persatuan pada Jumaat lalu.
Setiausaha PPTS John Sham berkata, pertemuan itu adalah untuk menyusun strategi bagi mewujudkan peluang pendapatan bagi para pemuzik dan memastikan industri berkenaan terus berdaya maju.
“Kita mesti sedar Covid-19 menyebabkan keadaan kelam-kabut yang memberi kesan pada semua sektor.
“Kita terpaksa berdepan dengan mereka yang tidak faham sepenuhnya kesukaran yang dihadapi industri muzik dan harus bersabar dalam pendekatan kita mencari penyelesaian,” katanya.
Malaysia kini dalam fasa ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP), yang antara lain tidak membenarkan semua bentuk perhimpunan besar-besaran.
Peraturan ini tidak hanya memberi kesan kepada artis dan penggiat seni, tetapi juga pekerja di belakang tabir dalam industri itu yang berdepan kesukaran untuk memulihkan pendapatan selepas pelbagai program mereka dibatalkan.