Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Jangan harap nak kaya, berjaya kalau asyik terlajak Subuh'

Jalan untuk berjaya selalu terbentang di hadapan, namun ia hanya akan dapat dijejaki dengan cara yang betul.

Bagi pelakon Lan Siro, cara yang ada padanya adalah berusaha sebaik mungkin dan diperkukuhkan dengan doa dan solat.

Justeru, kata pelakon Lan Siro, mendisiplinkan diri untuk bangun dan mengerjakan solat Subuh misalnya antara kunci kejayaan dan keberkatan hidup bagi seseorang Muslim.

“Jangan harap nak kaya-raya tanpa usaha, doa dan solat. Buatlah apa pun, jika tak dekatkan diri dengan Allah akan susah untuk berjaya.

“Orang yang kuat bekerja juga sama, golongan ni jangan asyik nak bekerja tapi tak beringat-ingat langsung pada Tuhan,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Lan atau nama sebenar Azlan Mokhtar, itu antara mesej cuba diketengahkan dalam telefilem terbaru lakonannya, Terlajak Subuh, yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Jumpa mualaf di masjid

Kata anak jati Pahang itu, naskhah arahan Azma Aizal Yusoof atau Isma Yusoof akan ditayangkan di saluran RTM juga mengajar seseorang individu agar tidak lupa bersyukur.

“Karya ni dihasilkan bertujuan mengingatkan penonton. Ada orang yang tak selalu bersyukur dengan apa yang ada.

"Insan tak bersyukur ni selalunya yang sering merungut kerana kerja kurang atau kerja tak bagus, padahal hakikat diri sendiri tak tau mana yang silap," katanya.

Selain Lan, 36, Terlajak Subuh turut menampilkan pelakon lain seperti Bell Ngasri, Zetty Mentor dan Razak Ahmad.

Ia berkisahkan mengenai kehidupan dua gelandangan iaitu Zam (Bell) dan Mat (Lan) yang selalu berangan-jangan mahu kaya tetapi tidak berusaha bersungguh-sungguh.

Mereka juga asyik tidur selain mengabaikan solat. Sehinggalah pada suatu hari kedua-duanya berjumpa dengan seorang lelaki mualaf di masjid.

Lelaki tersebut banyak memberikan bimbingan kepada Zam dan Mat, misalnya nasihat agar mereka tidak meninggalkan solat Subuh.

Sementara itu, menurut Penerbit Kembara Sufi Production, Jaja Ishak, Terlajak Subuh istimewa kerana ia menampilkan barisan pelakon yang hampir kesemuanya boleh menuturkan dialek Pahang.

“Hanya Bell Ngasri seorang bukan berasal dari Pahang, tapi tu kelainan cuba kami tonjolkan.

“Selain menggunakan dialek Pahang, penggambaran telefilem berkenaan juga turut dilakukan di dua daerah negeri berkenaan iaitu Kuantan dan Temerloh," katanya.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS