Susulan beberapa kontroversi kemelut rumah tangga, pelakon Bella Astillah mengakui kini berbadan dua dan sudah rujuk kembali dengan suaminya Aliff Aziz.
Bella atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah berkongsi khabar itu menerusi akaun Instagram, yang mana pelakon itu membalas komen pengikutnya berhubung perkara tersebut.
"Alhamdullilah, dalam masa edah lagi, jadi tidak perlu kahwin semula," katanya menjawab soalan pengguna akaun Instagram emi_aziznst sama ada dia dan Aliff sudah bernikah semula.
Sewaktu diaju soalan berbadan dua, Bella sekadar menjawab ringkas dan mengiyakannya.
"Ya saya," jawabnya kepada pengguna akaun Instagram nurulaida_94.
Pada Mei tahun lalu, pasangan terbabit dilaporkan bercerai selepas Aliff didakwa kerap curang dan mempunyai isu kontroversi bersama beberapa wanita.
Penyanyi lagu Sayang Sayang itu juga dilaporkan kesal atas keputusan perceraian tersebut.
Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia tiga tahun.