Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak AR Tompel terlantar kerana strok
Diterbitkan:  Apr 23, 2020 3:44 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Pelakon dan pelawak Amran Aman Ramlie atau lebih dikenali Amran Tompel mengalami serangan strok (angin ahmar) hingga tidak boleh menguruskan diri sendiri, kata anaknya, Shafiq.

Menurutnya, serangan angin ahmar itu yang berlaku kali kedua sejak peringkat awal perintah kawalan pergerakan (PKP) mengakibatkan Amran, 70, kini terlantar di rumah sewa anaknya di Taman Matahari Height, Senawang.

“Sekarang ayah sudah tak boleh uruskan diri sendiri selepas mengalami strok (angin ahmar) bulan lalu,” katanya dipetik BH Online.

Anak Allahyarham pelakon, pelawak AR Tompel itu yang pernah mewarnai industri lakonan tanah air sekitar 1990-an hingga 2014, sebelum ini pernah beberapa kali diserang angin ahmar.

Kata Shafiq, ayahnya diserang strok di rumah berkenaan dan kemudian terus dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ).

Anak kedua daripada empat beradik itu menjelaskan, ayahnya dipindahkan ke Hospital Jelebu, Kuala Klawang, Jelebu selepas berada selama seminggu di HTJ.

“Bagaimanapun, saya meminta kelulusan pihak hospital untuk membawa ayah balik ke rumah bagi memudahkan saya dan adik-beradik lain menjaganya.

“Tambahan pula ketika PKP ini sukar untuk bergerak dan pihak hospital memberikan kebenaran.

“Namun, saya perlu menjaga beliau dengan baik termasuk memastikan aktiviti fisioterapi dibuat setiap hari sebagai satu daripada kaedah rawatan yang diperlu dilakukan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan ayahnya sukar menguruskan diri ekoran terlantar di katil, dia tidak boleh makan dan hanya minum saja.

“Apabila menyuap makanan, dia akan muntah semula, mungkin perutnya tidak dapat menerima makanan dan saya hanya memberikan susu,” katanya.

Shafiq berkata, banyak pihak membantu ayahnya termasuk memberi barangan keperluan harian dan wang tunai. Selain itu, ada juga pihak mendermakan katil khas dan peralatan elektrik.

Antara pihak tampil membantu termasuk Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, selain masyarakat setempat membabitkan bantuan lampin pakai buang, makanan asas dan wang tunai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS