Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas memberi kecaman keras kepada Dr Adham Baba, penyanyi rap Caprice semalam mengadakan pertemuan dengan menteri kesihatan itu untuk meminta maaf.

Kata Caprice, dia memohon maaf atas sikap dipamerkannya sebelum ini, bahkan mengaku terlalu mengikutkan perasaan ketika membincangkan isu berkaitan Ahli Parlimen Tenggara berkenaan.

Menceritakan pengalamannya, Caprice berkata, dia berasa seperti mahu mengadap guru disiplin semasa berjumpa dengan Adham.

“Macam kena panggil dengan cikgu disiplin. Kita jahat mana pun, tetap budiman. Caprice minta maaf kepada @dr.adhambaba untuk kata-kata kesar beberapa hari lalu. Saya terlalu emosi,” katanya di media sosial.

Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli turut mengiringi hantaran itu dengan memuat naik gambar dia bersama Adham.

Terdahulu, Caprice, 31, membidas kenyataan Adham selepas menteri itu membuat kenyataan berhubung jumlah negara yang terbabit dalam telesidang video Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Adham berkata demikian semasa memberi taklimat kepada Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai situasi Covid-19. Rakaman yang dimuat naik ke Facebook itu kemudian menjadi tular.

Pergi seorang diri saja

Adham memberitahu sebanyak 500 negara terbabit semasa telesidang berkenaan. Untuk rekod, anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hanya terdiri daripada 193 negara. Beberapa tangkap layar pula menunjukkan jumlah wakil yang terbabit dalam telesidang itu hanya berjumlah kira-kira 300 orang.

Adham bagaimanapun kemudian mengaku kesilapannya bahawa hanya 50 negara sebenarnya terbabit dalam sesi berkenaan.

Isu kedua dikecam Caprice ialah mengenai poster ucapan tahniah dan penghormatan dizahirkan Adham kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kerana diiktiraf China Global Televisyen Network (CGTN) sebagai seorang daripada tiga doktor terbaik dunia yang menangani situasi Covid-19.

Mengulas poster terbabit, Caprice menyifatkan, Adham hanya dahagakan pujian ramai malah mendakwa ucapan menteri itu dibuat tidak ikhlas kerana lebih jelas menunjukkan wajahnya berbanding Noor Hisham. 

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, Caprice tampil memberi penjelasan selepas ada pihak yang mempertikaikan keperluan dia untuk berjumpa Adham semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.

Dakwa Caprice, pertemuan diadakan bersama Adham diadakan mengikut prosedur penjarakan sosial, selain masing-masing memakai penutup hidung dan mulut.


Baca Didakwa langgar PKP, anak Zahid cabar lapor polis


“Saya kena pergi seorang diri. Mereka (kementerian) amat tegas dengan peraturan. Saya juga kena mengamalkan penjarakan sosial dengan semua orang.

“Mereka juga memakai topeng muka. Dan semasa pertemuan itu diadakan, menteri memakai topeng penutup hidung dan mulutnya pada setiap masa sampai habis pertemuan,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Kenyataan tersebut dibuat selepas anak perempuan Ahmad Zahid, Nurul Hidayah - yang didakwa melanggar PKP - secara sinis mempersoalkan mengapa tindakan Caprice bertemu menteri tidak dipertikaikan orang ramai. 

“Untung la awak dik @capriceofficial jumpa menteri orang tak kecam. Sebab awak bukan anak orang politik. Takda sapa nak politikkan,” katanya di media sosial. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS