Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dr M: Baca al-Quran elak rasa tertekan, atasi marah semasa PKP

Mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menasihatkan orang ramai yang kini masih perlu mematuh perintah kawalan pergerakan (PKP) agar sentiasa mengawal diri dan tidak terbawa-bawa dengan emosi.

Katanya amalan sentiasa berada di rumah terutama dalam tempoh yang lama adalah mencabar dan mungkin mencetuskan tekanan perasaan bagi sesetengah pihak.

Justeru, kata Mahathir, antara cara yang boleh dilakukan untuk mengawal tekanan itu ialah dengan banyak membaca al-Quran.

“Pada masa ni kita perlu bendung perasaan kita. Kalau tak boleh tenang, kita baca apa saja atau membaca al-Quran dan sebagainya.

“Jangan biarkan diri kita dipengaruhi perasaan marah,” katanya.

Mahathir berkata demikian pada sesi bicara santai #dudukrumah bersama Siti Nurhaliza Tarudin melalui IG Live penyanyi terbabit sebentar tadi. Turut menyertai sesi berkenaan ialah isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Terdahulu penyanyi lagu Anta Permana mengajukan soalan kepada Mahathir, apakah saranan boleh diberikan beliau bagi mengurangkan kes penderaan atau keganasan domestik semasa tempoh PKP sekarang.

Kita wajar bersyukur

Mahathir, 94, berkata demi kebaikan dan kesejahteraan hidup berkeluarga, wajarlah perasaan marah dibendung agar seseorang itu tidak mudah melenting.

“Sikit-sikit nak marah... kenalah bendung perasaan tu sebab ini untuk kebaikan. Jika tidak, dengan masalah lain yang sedia ada, akan buatkan waktu terasa lebih panjang,” katanya.

Pasa masa sama, Mahathir mengucapkan selamat menjalani ibadah berpuasa kepada rakyat beragama Islam di negara ini yang bakal menyambut Ramadan yang dijangka bermula Jumaat ini.

Katanya, meskipun ibadah itu akan dijalani dengan cara berbeza tahun ini, hakikatnya rakyat negara ini masih mampu menyambut Ramadan dengan aman.

“Kita perlu terima hakikat tahun ni berlainan daripada biasa sebab kita tak boleh berdekat-dekat. Tak boleh sembahyang terawih berjemaah kerana kena ada penjarakan sosial atau jemput rakan berbuka puasa di rumah.

“Tapi tak apa, boleh terawih di rumah. Yang penting kita boleh tunaikan ibadah puasa tanpa ada masalah.

“Kita wajar bersyukur negara lain bukan saja berdepan masalah wabak Covid-19, mereka juga berada dalam keadaan berperang hingga berpuasa pun tak tenang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS