Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Biar pesakit Covid-19 jaga sekatan jalan raya, gurau Ashraf Muslim
Diterbitkan:  Apr 20, 2020 4:48 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Pelakon Ashraf Muslim menyeru rakyat negara ini supaya terus berada di rumah masing-masing sekiranya tidak ada keperluan untuk keluar sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) masih dikuatkuasakan.

Aktor itu yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh kerana dijangkiti Covid-19 juga berkata, jika masih ramai yang ingkar dia sanggup menggantikan tugas anggota keselamatan untuk berkawal di sekatan jalan raya.

“Wahai rakyat Malaysia, tolong jangan terlalu terdedah di luar. Duduk rumah baik-baik dan keluar rumah bila perlu saja.

“Kalau tetap berdegil, kami pesakit Covid-19 akan jaga sekatan jalan raya, mahu ke?” katanya di media sosial.

Ashraf memaklumkan dia disahkan dijangkiti Covid-19 pada 12 April lalu. Dia sebelum itu menjalani kuarantin secara sukarela sebaik pulang dari Inverness, Scotland pada 31 Mac lalu, kerana menjalani penggambaran drama 26 episod berjudul Demi, untuk siaran RTM.

Mengaku kenyataannya di Instagram berkenaan sekadar gurauan, Ashraf turut memohon agar rakyat menghormati perintah kerajaan yang dilaksanakan sejak 18 Mac itu.

Ashraf juga meminta agar semua pihak dapat bersabar dengan setiap musibah diturunkan Allah.

“Jangan marah ye, ini hanya gurauan kepada rakyat Malaysia, hormatilah perintah kerajaan. Sekejap ni, ya memang banyak masalah yang kita hadapi tapi inilah dugaan Allah dan pasti ada hikmahnya.

“Insya-Allah nanti kita dapat hidup macam biasa seperti sebelum ini. Insya-Allah, sabar sikit lagi,” katanya.

Selain Ashraf, enam lagi tenaga kerja, termasuk pelakon Puteri Aishah dan Puteri Rayyana Rayqa, dilaporkan positif Covid-19 selepas pulang dari Scotland.

Turut dijangkiti wabak itu ialah ibu Puteri Rayyana yang mengikuti rombongan tersebut.

Bagaimanapun, seorang daripada pelakon dijangkiti iaitu Puteri Aishah dilaporkan bebas Covid-19 selepas lebih seminggu menjalani rawatan di HSB Sabtu lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS