Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Drama Band tegur kluster 'kayangan' dalam single terbaru
Diterbitkan:  Apr 17, 2020 12:31 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Ingin menegur tetapi secara beradab, kumpulan Drama Band hadir dengan single baru sebagai sindiran buat kluster ‘kayangan.’

Menurut vokalis Drama Band, Aepul Roza, lagu diberi judul Kayangan itu diilhamkan daripada maklumat dikongsi petugas kesihatan yang terpaksa berdepan cabaran melayan kerenah kluster terbabit yang didakwa tidak beradab semasa melakukan ujian saringan Covid-19.

“Saya fikir mahu menegur dengan cara beradab. Jadi, menerusi lagu ini, saya dapat sampaikan pesanan secara berhemah. Saya pegang telefon dan gitar, semua idea keluar hingga terhasil sebuah lagu.

“Saya mahu berpesan bahawa manusia semuanya sama. Tidak kiralah apa status kita. Tidak kisahlah kita siapa, berduit atau berpangkat.

“Ramai yang tidak sedar, mereka ego dengan duit yang banyak. Kalau berduit sekalipun, virus tetap menyerang. Virus ini tidak mengenal sesiapa, kita tetap boleh mati,” katanya dipetik BH Online.

Selain Aepul dan Daus SRK, Drama Band turut dianggotai Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib.

Lagu Kayangan mula dilancarkan di YouTube, Selasa lalu.

Ini bukan pertama kali Drama Band tampil menggunakan subjek kontroversi dalam karya mereka.

Sebelum ini, band berkenaan muncul dengan single Drama yang dikaitkan dengan kontroversi membabitkan peserta pertandingan Dewi Remaja, Haneesya Hanee.

Mengulas lanjut, Aepul berkata, tindakan mereka bukan mahu mengambil kesempatan untuk menjadikan kluster kayangan sebagai tarikan bagi mempopularkan lagu berkenaan.

Sebaliknya, dia mahu kumpulan itu boleh menyampaikan mesej berguna melalui muzik.

“Biarlah orang nak kata apa sekalipun, mereka bercakap berdasarkan pemahaman mereka, jadi terpulanglah. Saya hanya mahu menyampaikan pesanan,” katanya yang terbuka jika dikritik netizen.

Aepul memberitahu, dia hanya mengambil masa 15 minit untuk menyiapkan melodi dan lirik Kayangan.

“Lagu ini disiapkan empat hari lalu... Ia siap dalam tempoh 24 jam. Boleh dikatakan melodi dan lirik siap dalam 15 minit.

“Kemudian saya serah kepada Daus untuk merakamkannya di studio. Pada hari sama, saya masukkan vokal.

“Segala-galanya berlaku cepat dengan kerjasama semua anggota band,” katanya yang tidak terlalu berharap sekiranya stesen radio enggan memainkan lagu berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS