Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dari kumpul dosa, baik siapkan pelindung muka - Aishah

Daripada mengumpul dosa, masa terbuang dengan sia-sia kerana mengutuk atau memaki orang, lebih baik kesempatan yang ada digunakan secara berfaedah untuk menyiapkan pelindung muka yang diperlukan petugas barisan hadapan, kata penyanyi Aishah.

Meskipun kini berhempas-pulas menyiapkan untuk 1,000 unit pelindung muka seorang diri, Aishah berkata, usaha itu lebih mendatangkan kepuasan buat dirinya berbanding melayan perkara tidak bermanfaat di media sosial.

“Kita sedia maklum pada waktu ini hospital-hospital mungkin berdepan kekurangan bekalan alat pelindung muka. Menurut kerajaan, ia berkemungkinan cukup setakat dua atau tiga minggu saja.

“Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) begini jugalah emosi akan mudah melenting, justeru saya cuba elak daripada melakukan perkara tak elok dalam talian.

“Lagipun, dah dekat nak masuk bulan Ramadan, kita pun baru tukar buku baru pada malam Nisfu Syaaban hari tu.

"Inilah tugas yang akan saya buat bulan puasa nanti,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut penyanyi Camar Yang Pulang itu, ilham untuk membantu menyumbangkan pelindung muka bermula selepas mengetahui rakannya - yang juga seorang doktor di klinik swasta, Nazlin Nazri - tercari-cari bahan untuk menghasilkan alat berkenaan.

Buatan lebih kemas

“Dalam grup sembang WhatsApp kami dia kelam-kabut cari plastik yang selalu dijual di kedai buku. Masalahnya kedai buku semua tutup.

"Nasib baik, entah fail mana dia dah koyakkan plastik untuk buat pelindung muka tu. Permukaan yang keras dan melengkung dengan senangnya menjadikannya pelindung muka buatan sendiri,” katanya.

Pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu menjelaskan, dia juga merancang untuk menyiapkan 1,000 unit kedua sebaik unit pertama diedarkan tidak lama lagi.

“Harapan saya adalah 1,000 unit pertama ni dapat siap pada minggu depan. Tapi disebabkan saya buat seorang diri, sehari hanya mampu siapkan 100 unit saja.

“Tapi saya sudah menempah siap-siap plastik dan material lain untuk membuat pelindung muka disebabkan bekalan yang terhad dan mujur juga ada ahli kelab peminat menyumbang wang untuk inisiatif ni,” katanya.

Sementara itu, Nazlin, 43, berkata reka bentuk pelindung muka buatan Aishah diyakini menepati spesifikasi yang biasa digunakan petugas kesihatan dan perubatan.

Menurut ketua Kelab Peminat Aishah’s Fan Club Family and Friends itu, selain diagihkan untuk kegunaan hospital di seluruh negara, dia sendiri menempah pelindung muka dihasilkan penyanyi itu untuk kegunaan di kliniknya.

“Sebenarnya saya juga terbabit sama menghasilkan pelindung muka dan setakat ni sudah mengagihkan sebanyak 4,500 daripada jumlah keseluruhan 6,000.

“Kak Aishah lihat macam mana saya hasilkan pelindung muka sebelum dia pun turut sama membuatnya. Saya juga lihat hasil buatannya lebih kemas terutama pada bucu plastik.

“Bagi saya, selagi plastik digunakan menutupi seluruh muka kiri, kanan, atas dan bawah ia sudah selamat untuk mengelak titisan kecil (droplet) daripada pesakit Covid-19 yang batuk atau bersin,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS