Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ashraf sebak diberitahu positif Covid-19
Diterbitkan:  Apr 15, 2020 2:33 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Selepas beberapa hari mendiamkan diri daripada media, pelakon Ashraf Muslim akhirnya mendedahkan dirinya positif wabak Covid-19 hari ini.

Ashraf berkata keputusan ujiannya keluar pada 12 April lalu, dan reda dengan apa yang dihadapinya itu.

“Tanggal 12 April 2020 menjadi jawapan untuk saya tentang keputusan sampel Covid-19. Ya, saya dijangkiti virus Covid-19.

"Sewaktu itu, walaupun sebak di dada bila dapat tahu jawapan tapi saya reda dengan pilihan Allah..ada hikmah di sebaliknya.

“Sama-sama kita berprasangka baik pada Allah, hanya Dia yang berikan penyakit dan dari Dia juga yang memberikan kesembuhan," katanya di Instagram.

Sebelum ini Ashraf mengaku dia menjalani kuarantin secara sukarela sebaik pulang dari Inverness, Scotland pada 31 Mac lalu, bagi menjalani penggambaran drama 26 episod, Demi, untuk siaran RTM.

Dia bersama 18 lagi, termasuk pengarah, pelakon dan kru, berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu, sebelum meningkatnya kes Covid-19 dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Selain Ashraf, tujuh lagi tenaga kerja, termasuk pelakon Puteri Aishah dan Puteri Rayyana Rayqa, turut dilaporkan positif Covid-19 selepas pulang dari Scotland. Turut dijangkiti wabak itu ialah ibu Puteri Rayyana yang mengikuti rombongan tersebut.

 Menceritakan detik-detik dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Asraf berkata timbul pelbagai perasaan yang sukar untuk ditafsirkan dalam dirinya.

“Datang perasaan bimbang dan macam-macam lagi bila masuk dalam ambulans (itu yang sampai berpeluh-peluh)."

Pada masa sama, Ashraf memohon agar sesiapa yang mengenali dirinya untuk berdoa agar dia dan pesakit Covid-19 yang lain akan segera sembuh.

“Maafkan saya ahli keluargaku, sahabat-sahabat dan rakan-rakanku. Tolong doakan yang baik untuk saya, pesakit-pesakit di sini dan kita semua. Demoga Allah jauhkan wabak ini daripada berterusan.

“Kepada mama, ibu, Sarah, Adam, Anas dan Safiyyah doakan ayah sungguh-sungguh supaya clear dari Covid-19... Supaya kita dapat jumpa ramai-ramai,” katanya, sambil memaklumkan keadaannya pada masa ini masih sihat, serta boleh menunaikan sembahyang dan membaca al-Quran seperti biasa.

Ashraf juga meminta maaf ekoran sikapnya yang belum bersedia untuk berkongsi berita itu kepada petugas media sebelum ini.

“Saya memohon maaf kepada rakan-rakan wartawan yang cuba menghubungi saya sebelum ini, harap faham dengan situasi saya sekarang ni,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS