Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jovian syak orang dalam dunia fesyen sendiri sebar fitnah

Jovian Mandagie mengesyaki ada individu yang dikenali menjadi dalang di sebalik penyebaran dakwaan dia menyalahgunakan dana sumbangan orang ramai, selain mengaut keuntungan atas penjualan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pihak hospital.

Bercakap kepada Malaysiakini, pereka fesyen terkenal itu berkata individu yang disyakinya itu sebenarnya datang dari industri yang sama disertainya.

Pun begitu, Jovian menegaskan, dia enggan memperbesarkan isu berkenaan. Cuma, katanya, dia terkilan mengapa individu berkenaan tidak menggunakan saluran yang betul untuk bertanyakan hal itu kepadanya.

“Saya tak mahu panaskan lagi situasi ni. Saya percaya apa yang terjadi cuma salah faham saja.

“Namun, sebenarnya memang ada rasa terkilan kenapa dia tak hubungi saya tapi buat tuduhan melulu dan siarkan di media sosial,” katanya ketika dihubungi.

Jovian sebelum itu meluahkan kekecewaan - melalui Instagram - bahawa dia kesal apabila niat ikhlasnya membantu pihak hospital di luar Lembah Klang disalahertikan pihak tertentu.

Selain itu, dia juga ada memberi kata dua kepada orang ramai bagi memutuskan sama ada dirinya masih diberikan kepercayaan untuk meneruskan usaha amal tersebut atau tidak.

Buat tempahan di China

Menurut Jovian, reputasinya sebagai pereka fesyen mula diragui selepas ada pihak tertentu membuat tuduhan dia mengumpul dana bagi mengutip wang sumbangan menyiapkan PPE tetapi kemudian menjual produk berkenaan kepada pihak hospital.

Namun, Jovian menegaskan dirinya tidak menyalahgunakan wang walau satu sen pun semasa melakukan kerja amal itu.

Sebaliknya dia menjelaskan PPE hanya dijual kepada pihak persendirian atau individu yang menyatakan kesanggupan mereka untuk membeli.

“Saya tak salah gunakan dana tu. Banyak pihak tampil untuk membeli PPE terdiri dari mereka yang bekerja di pusat dialisis, ahli farmasi, doktor persendirian atau orang ramai selepas tahu saya ada membekalkan produk tu secara percuma kepada pihak hospital.

“Saya membuat tempahan PPE sebanyak 12,000 di China. Daripada jumlah tersebut, 2,000 adalah tempahan untuk sektor persendirian manakala selebihnya untuk dibekalkan ke hospital secara percuma menggunakan dana sumbangan tadi.

“Saya ada kilang, tapi sebulan hanya mampu hasilkan 1,800 PPE sedangkan jika membuat tempahan di China, sekurang-kurang 10,000 unit dapat disiapkan dalam tempoh seminggu.

“Bayangkan keperluan harian hospital di sini adalah sekurang-kurang 500 PPE, tu sebab saya ambil inisiatif buat tempahan daripada menjahit sendiri,” katanya.

 Sementara itu, Jovian mengaku dia terharu dengan sokongan dan kepercayaan diberikan orang ramai, petugas barisan hadapan dan khususnya rakan selebriti yang mengenalinya selama ini.

Katanya, atas alasan itu jugalah, semangatnya kembali bangkit dan tidak pudar untuk meneruskan kerja-kerja yang dimulakannya itu.

“Saya bersyukur, apabila ada seorang yang benci, dan tak puas hati bila saya berniat baik, beribu-ribu orang pula masih datang dan tunjukkan kepercayaan mereka.

“Bukan calang-calang yang sokong, Siti Nurhaliza, Umie Aida... Ini individu yang saya kenal sejak kecil datang beri sokongan. Saya percaya ada hikmah di sebalik difitnah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS