ULASAN | "Orang sekarang tengok lukisan pakai telinga," kata Dani ‘King’ Heriyanto, seorang seniman yang berkeras mahu berjuang dalam iklim pasaran seni rupa yang tidak menentu di Jogja sekarang ini.
Karya-karya Dani yang sedikit erotis mula mendapat tempat di hati peminat seni rupa seawal waktu beliau masih berkuliah.
Dani diwakili galeri-galeri dari Singapura dan sehingga hari ini beliau masih bertahan sebagai seniman yang hasil kerjanya menjadi buruan walaupun tidak semeriah sewaktu booming dulu.
Seperti yang kami ceritakan sebelum ini, booming adalah kenangan manis kepada ramai seniman Jogja. Walaupun begitu, manis yang banyak bukanlah sesuatu yang sihat.
Semasa booming, harga karya seniman di Jogja melambung tinggi dan setelah itu ia menjadi beban kepada seniman.
Kami bertanya adakah sesuatu yang beretika apabila seorang seniman menurunkan harga karya mereka setelah duduk dalam satu peringkat harga?
Demi survival, apa pun terpaksa dilakukan. Dan apa yang boleh dilakukan oleh seniman berkenaan ialah memulakan satu siri baru, misalnya. Ia seharusnya tidak nampak persamaan dengan karya-karya yang telah dijual mahal.
Bukan benda pelik
Siri baru tersebut hendaknya seperti yang mengambarkan permulaan baru kepada seniman berkenaan.
Para pengemar seni rupa juga hendaknya lebih terbuka dalam hal ini. Mereka hendaklah ‘melihat’ karya dan bukannya hanya ‘mendengar’ suara-suara yang giat dihebohkan mengenai seorang seniman.
Memiliki karya hanya dengan mendengar adalah musibat yang membuatkan ramai pengemar seni rupa tertipu. Mereka dibuai oleh kehebatan seorang seniman hanya dari mulut seorang yang mengagumi seseorang.
Justeru mereka akan tergesa-gesa mahu memiliki karya seniman tersebut tanpa mahu melihat hasil kerjanya.
Bahkan pada zaman booming, terdapat pengemar seni rupa yang sanggup membayar harga tinggi kepada seniman yang masih belum menyiapkan karyanya.
Tidak menjadi sesuatu yang pelik waktu itu apabila kanvas yang masih kosong dibayar tunai dan ini adalah antara punca seniman terpaksa menggunakan artisan bagi menyiapkan kerja mereka.
Dani tidak ada masalah dengan seniman yang menggunakan artisan namun beliau lebih gemar menghasilkan sendiri karya.
Menurut beliau, artisan mungkin boleh meniru gaya karya seseorang namun tidak mungkin bagi seorang artisan untuk benar-benar faham apa yang diinginkan seniman asal.
Mungkin kerana ini, beliau sedikit ketinggalan jika dibandingkan dengan beberapa teman yang sezaman dengan beliau.
Kepuasan menghasilkan sendiri karya ada masanya menjadi masalah kepada pasaran yang sentiasa mahukan karya dengan segera. Namun Dani tetap berkeras untuk menghasilkan sendiri karyanya walaupun ianya mengambil masa yang lama.
Menjual karya yang dihasilkan sendiri tentu saja lebih murni jika dibandingkan dengan kerja yang dihasilkan oleh orang lain.
"Aku boleh pilih untuk jadi pedagang namun menjadi seniman adalah yang paling nyaman," katanya.
Dani terus menghasilkan karya yang menggetarkan. Sesuai dengan kematangannya, karya-karya mutakhir Dani kini mula keluar dari keghairahan zaman muda.