Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Video disunting Zulin tarik minat artis Bollywood
Diterbitkan:  Apr 3, 2020 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Beberapa sedutan filem lakonan Arjun Rampal yang disunting Zulin Aziz menjadi sebuah klip video meraih perhatian aktor terkenal dari Bollywood itu.

Meskipun tidak memahami isi kandungan video berkenaan, Arjun meminta peminatnya di akaun Twitter miliknya yang mempunyai lebih 4 juta pengikut untuk membantu menterjemahkan dialog yang dituturkan Zulin.

“Boleh anda terjemahkan ni? Ia kelihatan amat lucu. LOL semoga kekal selamat,” ciapnya melalui satu entri.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz itu berkongsi video suntingan yang memaparkan Arjun seolah-olah suaminya di media sosial.

Video tersebut mengandungi dua versi bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Hindu yang diselang-selikan dengan dialog jenaka oleh Zulin, 30.

“Perkenalkan ini suami saya. Dia seorang polis yang berjuang untuk negara sewaktu Covid-19. Jangan suami saya tangkap kamu orang. #stayathome,” katanya.

Video dikongsikan Zulin diulang ciap lebih 3,000 kali oleh warganet dan akhirnya mendapat respons daripada pelakon I See You itu.

Sementara itu, Zulin melalui Instagram berjenaka bahawa ‘suaminya’ itu tidak memahami bahasa Melayu.

“Kan dah beritahu, suami saya tak faham sangat Melayu…awww dia suruh terjemah guys,” katanya.

Zulin juga mengaku bahawa kenyataan Arjun, 48, itu membuatkan tidurnya bertambah lena.

“Aku boleh tidur senyum macam ni @rampal72,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS