Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Diva AA nak 'tebus' mulut celupar dengan rendang istimewa
Diterbitkan:  Mar 26, 2020 7:45 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

Jika diberi kesempatan, personaliti terkenal, Azwan Ali, berkata dia sedia untuk menjamu pihak pengurusan Hospital Putrajaya dengan rendang dimasaknya sebagai tanda ikhlas meminta maaf atas rasa tersinggung mereka sebelum ini.

Azwan yang lebih dikenali dengan gelaran Diva AA itu berkata, rendang tersebut akan diberikan secara percuma sebagai tanda permohonan maaf yang dibuatnya selepas timbul dakwaan dia menghina cara kerja hospital terbabit.

Menurutnya, permohonan maaf secara terbuka itu dilakukan selepas rakaman klip video mengandungi 'perutusan Diva AA' bahagian 3 menjadi begitu panas.

"Truly Diva AA memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan mulut gampang, mulut hangsuang dan mulut tersial. Nak buat macam, dah memang begitu kaedahnya.

"Dah nak dekat puasa dan menyambut hari raya. Insya-Allah, jika ada rezeki Diva AA akan masakkan rendang Chef Diva dan sedekahkan kepada pihak pengurusan," katanya.

Terdahulu, Hospital Putrajaya memfailkan laporan polis berhubung penularan dua video didakwa menjejaskan imej dan kredibiliti pegawai perubatan di situ semasa mengendalikan kes Covid-19.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Presint 7 pada 24 Mac lalu susulan video ditularkan oleh dua selebriti tempatan.

Jangan bagi berdendam

Video pertama dikongsikan penyanyi senior yang mempunyai impak tontonan tinggi, manakala video kedua diperoleh daripada saluran YouTube seorang pengacara lelaki yang menyokong isu dibangkitkan selebriti pertama.

Laporan tersebut juga dibuat sebagai langkah menepis tohmahan dan persepsi masyarakat terhadap perkhidmatan kakitangan mereka.

Mengulas lanjut, Azwan berharap, pihak Hospital Putrajaya akan bersikap terbuka dan menerima permohonan maaf yang dibuatnya itu.

Kata Azwan, sebagai seseorang yang terkenal kerana bermulut celupar, dia sedar ada masa tertentu dia tidak dapat mengelak daripada menyentuh sensitiviti orang lain.

"Diva AA percaya, pihak pengursan Putrajaya akan bersikap terbuka dan menerima permohonan maaf ni.

"Kita ni kadang tak jaga mulut, tak jaga bahasa, mungkin ada berbilion suka dengar mulut celupar, maki-hamun sana sini dan pasti akan ada juga yang tersinggung," katanya.

Justeru, bagi Azwan, tiada masalah untuk dia tampil dengan permohonan maaf kerana menyedari setiap kesilapan yang dilakukannya itu.

"Kita perlu betul-betul hormat kalau bersalah, kita reda dan minta maaf. Tak jadi masalah kerana hidup ni bukan lama.

"Kita hidup dalam dunia jangan bagi orang berdendam dengan kita. Tu pendirian Diva AA," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS