Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Harvey Weinstein positif Covid-19
Diterbitkan:  Mar 23, 2020 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Bekas penerbit filem Harvey Weinstein yang sedang menjalani hukuman penjara atas jenayah serangan seksual dan rogol disahkan positif Covid-19.

Ketua Pegawai Penjara dan Ketua Kesatuan Pekerja Penjara New York, Michael Powers berkata, Weinstein terpaksa ditempatkan ke Wende Correctional Facility.

"Hasil ujian mendapati dia positif pada Ahad lalu dan kini timbul kebimbangan mengenai pegawai penjara yang tidak mempunyai peralatan sesuai untuk menangani Covid-19.

"Beberapa kakitangan telah dikuarantin," katanya dipetik Telegraph.

Weinstein, 68, tiba di Wende Correctional Facility, sebuah penjara yang mempunyai tahap keselamatan maksimum di Timur Buffalo, New York pada Rabu lalu selepas ditempatkan di penjara Rikers Island.

Dia dijatuhi hukuman 23 tahun penjara pada 11 Mac lalu selepas menyerang secara seksual bekas pembantu produksi, Mimi Haleyi dan memperkosa pelakon Jessica Mann.

Susulan hukuman dikenakan, Weinstein bermalam di Hospital Bellevue, Manhattan disebabkan mengalami masalah jantung, kata jurucakapnya, Juda Engelmayer. Dia juga mempunyai masalah perubatan lain termasuk diabetis dan tekanan darah tinggi.

Bagaimanapun, peguam Weinstein, Imran Ansari berkata, dia dan pasukan perundangannya tidak dimaklumkan mengenai diagnosis ke atas bekas penerbit terbabit.

"Memandangkan dengan tahap kesihatan Weinstein, sudah tentu kami amat bimbang. Sekiranya ini satu masalah, kami akan sentiasa membuat pemantauan," katanya.

Terdahulu, The Niagara Gazette - sebuah akhbar tempatan di New York - melaporkan, Weinstein disahkan positif untuk virus berbahaya itu pada awal Ahad lalu.

Seorang pegawai yang dirahsiakan identitinya pula berkata, Wende Facility mengesahkan terdapat dua banduan dijangkiti kes Covid-10.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS