Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Che Ta pesan duduk rumah, Budak Ijat ajak baca Yassin
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 4:20 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Situasi semasa ancaman wabak Covid-19 menimbulkan kebimbangan kepada rakyat Malaysia termasuk golongan selebriti meskipun kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan.

Hal demikian berlaku disebabkan terdapat rakyat negara ini masih berdegil dan mengingkari perintah tersebut sejak hari pertama ia dilaksanakan.

Justeru, beberapa selebriti dilihat tampil memainkan peranan besar khususnya dalam menitipkan pesanan buat masyarakat mengenai bahaya pandemik Covid-19 di media sosial hari ini.

Antaranya, pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta menyeru masyarakat agar duduk di rumah sebagai langkah mencegah penularan baru wabak itu yang dibimbangi menjangkiti lebih ramai rakyat.

Uolls, tolong duduk di rumah.

“Satu je nak pesan, elak terkena jangkitan virus korona ni sekarang. Sebab kalau kita kena sekarang, lagi 14 hari baru nak rasa kesannya.

“Waktu tu hospital dah penuh. Tak ada tempat dah untuk kita. Jadi, berhati-hatilah,” katanya.

Ada hikmah duduk rumah

Pada masa sama, secara bergurau, Rozita berkata, ada juga hikmah sekiranya mereka yang sudah berkahwin dapat duduk saja di rumah.

“Yeah, duduk rumah boleh tidoq, peluk laki lama-lama,” katanya sambil mengiringi hantaran itu dengan emoji berwajah nakal.

Malam tadi Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin merayu supaya rakyat tidak keluar rumah kecuali bila perlu saja sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang mula berkuat kuasa semalam.

Katanya perkara itu penting untuk memutuskan rantaian jangkitan, sekali gus mengurangkan jangkitan wabak Covid-19. 

Pelakon Kazar Saisi pula berazam untuk menghiburkan peminatnya di media sosial sekiranya mereka berjanji untuk mentaati perintah kawalan pergerakan.

"Jika anda semua janji dok umah, saya janji akan cuba sedaya upaya hiburkan yalls ya," katanya di Instagram.

Kazar turut mengiringi kenyataan tersebut dengan tanda pagar #pleasestayathome.

Pengarah drama popular Nur, Shahrulezad Mohameddin juga tampil menyeru pengikut-pengkutnya yang Muslim di Instagram agar beramai-ramai membaca surah Yassin serentak malam ini.

"Jom! Malam ni kita ramai ramai baca Yassin serentak. Semoga Allah bantu kita dan semua barisan hadapan petugas kesihatan tak kira apa bangsa dan agama," katanya.

Shahrulezad - melalui akaun Instagram miliknya iaitu Budak Ijat - berkata, pada masa sama dia berharap, menerusi bacaan itu nanti, Allah berkenan untuk mengurniakan vaksin yang dapat mencegah Covid-19.

"Semoga Allah kurniakan penawar vaksin untuk kita seberapa segera yg boleh. Semoga virus Covid-19 ni hilang begitu saja sebelum puasa menjelang tak lama lagi. Insyaallah. Amin ya Rabbal Alamin," katanya.

Sementara itu, Pencetus Ummah Hafiz memohon petugas kesihatan yang berdedikasi mempertaruhkan nyawa dan tenaga masing-masing bagi membantu mangsa Covid-19 agar dipermudahkan urusan mereka.

"Ya Allah... Bantu lah mereka... Mereka sedang berjuang membantu manusia lain. Mereka berkorban terdedah dengan bahaya lebih2 lagi pulang bertemu keluarga.

"Selamatkanlah dan beri kekuatan kepada para doktor, jururawat dan kakitangan perubatan kami di Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS