Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Maya Matahari meninggal dunia akibat kanser
Diterbitkan:  Mar 18, 2020 6:01 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Penyanyi Maya yang terkenal dengan lagu Matahari, meninggal dunia hari ini akibat penyakit kanser.

Mengikut laporan media, khabar duka itu disahkan oleh rakan artis Haiza.

“Saya dapat panggilan daripada Kak Ieda (Moin) yang memaklumkan mengenai berita ini. Setakat ini, saya dimaklumkan jenazah arwah berada di Sungai Buloh, namun belum tahu di mana lokasinya secara spesifik,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Maya atau nama sebenarnya Myanaliza Ruslee dikatakan menghidap penyakit itu sejak tiga tahun lalu dan pernah mendapatkan rawatan di China.

Menurut laporan Astro Awani, Maya dikatakan tidak mahu kisah penderitaannya disebarkan melalui media buat peminat dan masyarakat.

Maya pernah popular pada tahun 90-an dengan lagu seperti Matahari dan Diari Biru sebelum menyepi daripada industri seni. 

Dia kemudian membuat kemunculan semula pada 2018 menerusi rancangan Gegar Vaganza musim kelima.

Beberapa rakan artis turut berkongsi berita pemergian Maya di media sosial masing-masing, antaranya Haiza, dan penyanyi Azharina Azhar.

“Kami bersahabat dari mula perkenalan dengan Kak Maya .. seorang yang baik, penyayang dan bila berborak berjam-jam.

“[...] Kau tempatkan Kak Maya di syurga Indah-Mu dan di kalangan orang beriman. Al-fatihah,” kongsi Azharina di Facebooknya.

Para peminat Maya turut berkongsi ucapan takziah dan doa di Facebook dan Instagram penyanyi itu yang lama tidak dikemas kini, selain di hantaran-hantaran rakan artisnya. 

Ramai juga yang menyatakan tidak dapat mempercayai berita kematiannya itu.

Selain penyanyi, Maya yang berusia 44 tahun itu pernah membintangi filem, teater, drama dan juga sitkom.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS