Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ramlah: Dulu balas surat peminat, sekarang layan di Instagram

Menyedari industri hiburan hari ini jauh berbeza berbanding era 1980-an, penyanyi Ramlah Ram mengaku dia terpaksa berjinak-jinak dengan perkembangan dunia digital demi mendekatkan diri dengan peminat.

Kata Ramlah, selaku artis senior dia perlu celik digital untuk kekal relevan meskipun perlu membiasakan diri untuk melakukan sesuatu yang tidak biasa dilakukannya sebelum ini.

“Zaman dulu amat berbeza berbanding sekarang, waktu tu kami hanya guna surat untuk balas komen peminat.

“Sekarang saya perlu paksa diri buat benda bukan selalu dibuat misalnya buka akaun Instagram,” katanya.

Menurutnya, antara beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk mengatasi cabaran kemajuan media sosial ketika ini adalah merakam gambar sendiri atau berswafoto.

“Kena masuk platform berkenaan untuk muat naik imej selfie,” katanya.

Ramlah ditemui pada sidang media pelancaran single terbarunya, Masar Cinta di pejabat Indigital Music, Damansara Perdana baru-baru ini.

Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu berkata, tujuan dia berbuat demikian bukanlah untuk meraih populariti.

Sebaliknya, menurut Ramlah, dia terbuka mempelajari perkara baru selagi langkah itu masih dianggap bersesuaian untuk mempromosikan karya-karya yang akan dihasilkan pada masa akan datang.

“Bukanlah untuk raih populariti lagi. Saya anggap masih berada dalam industri sudah cukup untuk saya panjatkan syukur. Sebagai artis lama, kita kena sedia belajar perkara baru.

“Kita tak boleh asyik duduk dalam dunia kita yang dulu,” katanya.

Berkongsi mengenai Masar Cinta, Ramlah, 55, berkata, ia disiapkan sempena memperingati pemergian penggubah lagu berkenaan, ID Mifzal yang meninggal dunia pada Mac, tiga tahun lalu.

“Saya nak realisasikan hajat arwah yang tak kesampaian. Inilah kenangan terakhir daripada dia, lepas ni dah tak ada.

“Dulu hampir-hampir nak diterbitkan cuma berdepan kekangan sebab arwah asyik ulang-alik masuk hospital disebabkan sakit.

“Saya harap dia boleh tersenyum dengan hasil tangannya yang terakhir ni,” katanya.

Untuk rekod, Masar Cinta, hadir selepas lapan tahun Ramlah tidak muncul dengan single terbaru. Kali terakhir dia hadir dengan single berjudul Diam Diam Jatuh Cinta pada 2011.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS