Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | "Politik pening, lukisan pening. Entah kerana tak habis belajar atau mungkin tersalah ambil kursus semasa belajar. Har, har, har...." kata Tengku Sabri Tengku Ibrahim, seorang pengarca tekenal tanah air.

Beliau mengatakan demikian sewaktu kamu berbual sambil menikmati kopi tiga dalam satu dan juga karipap sardin yang disedikan oleh isteri beliau, pelukis Mastura Abdul Rahman.

Pengkarya Malaya terutamanya yang berbangsa Melayu sedang berada dalam satu frasa yang membimbangkan.

Penghasilan karya mereka sangat tertumpu kepada karya-karya yang mesti dijual. Sudah tidak ada lagi seniman yang menghasilkan karya sebagai suatu pernyataan pegangan.

Semuanya berlandaskan wang. Kerana itu - menurut Tengku Sabri - apabila datang musim tahun baru Cina misalnya, berlumba-lumbalah seniman menghasilkan karya-karya yang berwarna merah.

Begitu juga apabila lukisan figura sekarang ini mula mendapat tempat dalam kalangan pengumpul karya. Maka berbodong-bondong pelukis lama dan baru giat menoreh di pasaran ini.

Karyawan seni kita hari ini ialah pedagang. Kerjanya adalah memberikan apa yang dimahu pelanggan dan pada masa sama mereka marah apabila digelar demikian.

Tertakluk kepada undang-undang

Lihat saja betapa sebaik saja diumumkan kabinet baru maka media sosial penuh dengan karya potrait perdana menteri yang baru, dan juga menteriyang lain.

Para peniaga ini mula memasang pukat di laut nan dalam.

Seniman hari ini sudah menjadi alat propaganda pemerintah dan pembangkang tanpa mereka sendiri sedari akan perkara ini.

Menurut Tengku Sabri lagi, ini semuanya kerana seniman hari ini diasuh untuk mencintai tiga "ta". Apakah "ta" itu? Harta, wanita dan takhta.

Inilah yang menghancurkan politik negara dan juga segala kemurnian dalam berkarya.

Sedangkan sebagai seniman yang memanggil Islam sebagai agamanya, kita semua tertakluk kepada perundangan tuhan. Mentaati perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya wajib dijadikan panduan dalam menghasilkan karya.

Berbangga dengan kegemilangan masa lalu juga menjadi sebab mengapa karyawan Melayu menghasilkan karya yang tumpul dan hanya menyentuh permukaan apa yang dipanggil sebagai perjuangan bangsa mereka.

Apakah tidak ada kegemilangan sebelum datangnya Melaka? Apakah tidak ada apa-apa yang berlaku sebelum Melaka? Apa yang terjadi setelah ‘pentas Sunda’?

Persoalan-persoalan ini seharusnya dijawab dengan melakukan penelitian yang lebih mendalam.

Temgku Sabri menjadikan program Perakman oleh Persatuan Pelukis Perak dan program Gumum+ism di Tasik Chini sebagai perbandingan.

Tumpu kumpul tiga 'ta'

Menurut beliau, program sebegitu sepatutnya dijalankan dengan penuh kesungguhan, bukannya sekadar mengumpul pelukis dan dengan segera meghasilkan karya.

Sepatutnya satu kajian yang lebih terperinci hendaklah dijalankan dalam mencari mengapa Tasik Chini itu dianggap penting.

Apakah yang menghasilkan cerita-cerita mengenai naga di tasik berkenaan dan apa yang dikatakan mitos itu mungkin ada kisah yang lebih besar daripada itu.

Tidak mungkin suatu kisah yang diturunkan kepada kita semua hanya dihasilkan sebagai hiburan si penglipur lara pada zaman lama.

Malang sekali karyawan Melayu apabila mereka hanya tertumpu kepada mengumpul tiga "ta" lalu mengelar diri sebagai seniman sebelum bersegera menghasilkan karya.

Tengku Sabri berpendapat mungkin mereka itulah "penyair yang akan dihumban ke neraka" seperti yang disebut di dalam al-Quran kerana sifat karya mereka yang sangat melalaikan.

Antara persoalan yang perlu dijawab ialah, dari mana datangnya pandai besi, pandai kayu dan segala macam pandai di alam Nusantara ini?

Apakah tidak mungkin telah ada suatu macam sekolah yang mengajarkan perkara-perkara ini pada waktu itu?

Kerana tamadun kita tidak ditulis, maka apa saja bentuk pendakwaan - yakni bangsa paling handal di laut, bangsa paling awal di Nusantara dan sebagainya - tidak dapat dibuktikan.

Lalu Barat tidak mengambil apa saja dakwaan kegemilangan kita sebagai sesuatu yang benar. Tentu saja mereka akan segera tertumpu kepada peradaban Rom dan Greek yang sangat sistematik merakam segala detik tamadun mereka.

Menjadi tanggungjawab kita semua untuk menggali semula segala kemungkinan yang ada pada bangsa di negara ini.

Setelah diserang angin ahmar beberapa tahun lepas, Tengku Sabri mula melakar menggunakan pen dan juga arang di atas kertas. Lakaran-lakaran itu menceritakan kembali perasaan beliau semasa dalam proses baik pulih dari serangan tersebut.

Ianya mengambarkan perasaan putus asa, takut dan kemurungan yang hampir pasti akan dihadapi sekiranya beliau berhenti daripada menggunakan daya kreatif.

Daripada lakaran yang dijadikan terapi untuk diri sendiri itu maka lahirlah siri Dark Drawing yang dipamerkan di Balai Seni Negara dan kemudiannya dimiliki oleh sebuah galeri milik kerajaan negara jiran.

Si nakal Semburit Api

Ini adalah sesuatu yang amat memilukan, namun ianya adalah modal untuk sebuah artikel pada masa lain.

Siri Dark Drawing adalah satu kumpulan lakaran yang amat-amat mengesankan kami.

Bertolak daripada pameran tersebut, pengarca muda, Che Mat ‘Awie’ menawarkan diri untuk menjadi tangan kepada Tengku Sabri dalam menghasilkan karya.

Tengku Sabri masih tidak boleh menggunakan sepenuhnya anggota sebelah kiri beliau dan pelawaan Che Mat untuk membantu adalah amat dialu-alukannya.

Namun proses pembelajaran oleh Tengku Sabri kepada Che Mat adalah sesuatu yang menyeksakan.

Che Mat terpaksa bersabar dan mengikuti segala tunjuk ajar dengan fikiran yang terbuka.

Beliau perlu melupakan bahawa beliau sendiri adalah seorang pengarca untuk menjadi ‘jin suruhan’ Tengku Sabri.

Setelah sekian lama, Che Mat 'dirasuk' semangat Tengku Sabri lalu semua karya yang dihasilkan menjadi ‘milik’ Tengku Sabri sepenuhnya.

Perbuatan sebegini - iaitu seorang artis menggunakan khimat seorang artis lain untuk menghasilkan karya bagi pihak mereka - adalah normal terutama di barat.

Damien Hirst dan Jeff Koons misalnya, secara terbuka memberitahu bahawa hasil karya mereka sebenarnya dikerjakan oleh orang lain dan masyarakat seni seluruh dunia menerimanya.

Di Malaya ianya masih tabu walaupun sudah menjadi praktis kepada sebahagian artis.

Mungkin Tengku Sabri dan Che Mat akan mengubah perkara ini.

Semilir Angin - demikian tajuk pameran solo Tengku Sabri (gambar) yang akan dirasmikan awal April nanti.

Beliau mempamerkan lakaran-lakaran yang dihasilkan dari 1980-an sehingga kini, selain kumpulan arca terbaru dengan sebuah arca potrait diri yang dihasilkan pada tahun-tahun sebelum beliau diserang penyakit yang disebut tadi.

Dalam siri arca yang dipamerkan, beliau menceritakan perjalanan hidup seorang pelajar nakal yang diberi nama Semburit Api.

Arca-arca itu harus dilihat seluruhnya sebagai sebuah wayang gambar yang ianya berkait antara satu dan yang lain.

Apa yang menarik ialah, apabila Semburit Api itu didenda oleh gurunya dan dia diarahkan supaya menjilat matahari.

Tengku Sabri juga akan melancarkan buku Ditangkap Gergasi: 20 Cerita Pendek bersempena dengan pameran solo beliau itu.

Kami mengharapkan Tengku Sabri diberi semua kejayaan dunia dan juga akhirat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS