Tidak mahu hanya dikenali sebagai penyanyi lagu 'cintan-cintun', Fattah Amin hadir dengan buah tangan terbaru berjudul Bebas yang menyuntik motivasi kepada pendengar agar tidak dibelenggu tekanan mental.
Menurut pelakon dan penyanyi itu, kemunculan Bebas tepat pada waktu dirinya mahu beralih arah ke sesuatu yang boleh memberi manfaat bersama sambil berhibur.
“Sampai bila saya nak terus selesa menyanyi lagu berkonsep 'cintan-cintun'. Saya juga mahu ada pembaharuan dalam aliran seni. Ni juga langkah untuk saya tidak statik dengan apa yang ada sekali gus dapat melonjakkan kerjaya seni.
“Sebelum ini lagu saya terarah kepada elemen romantik dan cinta. Dengan pelbagai masalah sosial yang kita baca dan dengar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya percaya sekarang masa yang sesuai untuk mengambil satu langkah ke hadapan dalam kerjaya nyanyian,” katanya dalam satu kenyataan.
Fattah, 29, berkata, dia yakin peminat contohnya tidak hanya mahu mendengar lagu cinta semata-mata.
“Peminat saya ada di pelbagai peringkat umur termasuk dewasa dan muda yang pastinya terpalit dengan masalah semasa,” katanya.
Berkongsi mengenai Bebas, Fattah berkata, setiap permasalahan sosial atau isu membabitkan mental khususnya pasti mempunyai jalan penyelesaian tertentu antaranya melalui pendekatan mempercayai diri sendiri terlebih dahulu.
“Pada akhirnya juga kita harus yakin dan percaya dengan diri, bahawa setiap permasalahan pasti ada jalan keluar daripada kepompong itu.
“Kita harus ingat masih ada orang sekeliling termasuk keluarga dan kawan yang boleh menyokong kita daripada terus larut tanpa arah tujuan.
“Jika diteliti bait lirik lagu ini ia sebenarnya membawa mesej positif kepada yang mendengarnya,” kata Hero Remaja 2012/13 itu.
Dilancarkan tepat tengah malam tadi di semua platform digital, karya itu mendapat sentuhan Rudy Nastia serta lirik Leo Azman di bawah label Universal Music Sdn Bhd.
Pemilik nama penuh Abdul Fattah Mohd Amin itu sebelum ini pernah muncul dengan lagu Wanita Terakhir, Wanita Terindah, 1234U dan Isterimewa.
Pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu juga menjelaskan dia banyak melihat naskhah lagu terbabit dengan melihat isteri tercinta, Nur Fazura Sharifuddin sebagai inspirasi paling istimewa.
“Tak dinafikan lagu Bebas banyak mengambil inspirasi daripada isteri saya. Dia sendiri memang sudah lama menyebarkan segala elemen dan aura positif dalam hidup termasuk di media sosial,” katanya.
Buat kali pertamanya Fattah yang turut terbabit dari proses awal hingga akhir penghasilan lagu berkenaan menyifatkan Bebas sebagai hadiah untuk peminat dan penyokong yang terus setia untuknya.
“Bukan hanya sekadar menyanyi, saya juga terbabit dengan pemilihan melodi, bunyi untuk lagu dan beri ilham untuk video muzik. Saya dan komposer Helen Yap juga, sama-sama duduk berbincang memilih bunyi muzik yang betul betul baik,” katanya.
Pada masa sama, dia juga menegaskan bahawa bidang nyanyian bukan dilakukan dengan sekadar melepaskan batuk di tangga, sebaliknya untuknya serius bergelar penyanyi.
“Siapa kata saya main-main menyanyi? Saya serius. Cuma, menyanyi bukan seperti berlakon. Lakonan mengambil masa panjang, menyanyi pula rekod lagu dalam masa seminggu boleh siap. Tanggapan itu tak betul,” katanya.