Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kes usahawan kosmetik: Polis dah hantar kertas siasatan

Polis sudah menghantar kertas siasatan kepada pendakwa raya berhubung dakwaan seorang usahawan kosmetik terkenal memukul anak angkatnya berusia dua tahun dalam kejadian 28 Feb lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pihaknya menyerahkan kertas siasatan tersebut semalam.

“Kertas siasatan berada dengan pendakwa raya. Ia diserahkan semalam,” katanya.

Insiden terbabit mula diketahui umum minggu lalu selepas Malaysiakini melaporkan pembantu rumah usahawan kosmetik itu memfailkan aduan polis bulan lalu. 

Pembantu rumah terbabit mendakwa kejadian berlaku apabila suspek memukul menggunakan tangan pada muka kanak-kanak itu sewaktu ingin merakam gelagatnya sedang menangis untuk tujuan publisiti.

Dia turut mendakwa suspek mengarahkannya memukul kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, pengadu enggan kerana tidak mahu kanak-kanak tersebut cedera.

Dakwa pengadu, suspek akhirnya memukul anak angkatnya itu menggunakan kasut di badan selain mencubit kanak-kanak tersebut hingga meninggalkan kesan.

Pembantu rumah itu mendakwa dia membuat laporan polis kerana tidak mahu dituduh memukul kanak-kanak terbabit.

Susulan laporan yang dibuat, polis merakamkan kenyataan suspek pada 2 Mac lalu. 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS