Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Wabak Covid-19 yang menular hampir di seluruh negara menyebabkan produksi filem aksi James Bond yang dinanti-nantikan tayangannya April ini, No Time to Die ditangguh pada Disember depan.

Bagaimanapun, penerbit filem tempatan Nizra Entertainment, Nik Eruwan Nik Izani, mengambil pendirian berbeza apabila tidak berhasrat menangguhkan filem terbitannya, Bulan dan Pria yang dijadualkan ditayangkan pada 12 Mac ini.

“Setakat ini kita dah tetapkan keputusan untuk tayang pada 12 Mac ni. Semalam dalam grup Whatsapp, mereka (pihak produksi) memaklumkan penangguhan filem No Time To Die.

“Tapi saya balas semula mesej tersebut dengan menyebut, Bulan dan Pria Terhebat no time to die,” katanya pada majlis tayangan perdana filem tersebut di Damansara Utama, Petaling Jaya semalam.

Nizra Entertaiment turut menjalin kolaborasi bersama Astro Shaw dan Skop Productions bagi menghasilkan Bulan dan Pria Terhebat.

Naskhah mendapat arahan Ghaz Abu Bakar itu berkisahkan seorang pelatih pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk kes sindiket pemerdangan manusia di Malaysia bagi menyelamatkan adiknya.

Antara barisan pelakon yang bakal mewarnai filem tersebut adalah Zizan Razak, Zahirah Mac Wilson, Maya Karin, Khir Rahman, Alif Hadi dan Aprena Manrose.

Pun begitu, Nik Eruwan berkata, perkara tersebut akan terus diteliti sekiranya pihak pawagam tanah air mendapat arahan perlu ditutup ekoran Covid-19.

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau untuk sebarang maklumat berkaitan penularan wabak tersebut.

“Kita akan terus pantau dan lihat keadaan sekiranya panggung tutup, kita akan buat keputusan lain,” katanya.

Malaysia antara negara terpaksa berdepan gelombang kedua penyebaran Covid-19 selepas jumlah kes jangkitan di negara ini kini melonjak kepada 83 kes.

The Guardian pula melaporkan beberapa filem dari China seperti Vanguard, The Rescue, Detective Chinatown dan filem animasi fantasi, Jiang Zi Ya : Legend of Deification turut menangguhkan tayangan susulan penutupan pawagam di negara tersebut.

Laporan itu turut menyebut, pawagam di beberapa negara seperti Itali, Korea Utara dan Jepun juga ditutup bagi membendung masalah penularan virus tersebut.

Namun, Nik Eruwan berkata, dia yakin pihak pengurusan pawagam boleh mengendalikan tempat mereka dengan bersih dan selamat.

“Pihak pengurusan pawagam akan meningkatkan penjagaan kebersihan dan kemudahan antaranya dengan menyediakan pembersih tangan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS