Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sofi: Dulu pernah sokong dia, sekarang jaga diri masing-masing

Walaupun beranggapan kemelut persahabatannya dengan Farid Kamil sudah berakhir, Sofi Jikan mengakui dia masih sukar untuk melupakan apa yang berlaku dengan begitu saja.

Kata Sofi, dia berasa terdapat kekangan untuknya menjalin hubungan seakrab dulu dan sukar mencipta keserasian sekiranya digandingkan dalam mana-mana produksi.

"Sukar untuk dapatkan keserasian seperti dulu atau bersahabat kembali seperti dulu," katanya.

Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, ditemui pada majlis tayangan amal filem Jodoh Syaitan dan penyerahan sumbangan amal untuk Rumah Anak Yatim Datuk Faridah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir, Tengku Baharuddin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, merangkap Pengerusi Kumpulan Sun Century.

Sofi yang terkenal dengan dengan watak antagonis itu diberkas di Balai Polis Mutiara Damansara selepas didapati positif ganja ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung laporan polis dibuat Farid. 

Dalam laporannya, Farid menamakan pelakon KL Gangster itu sebagai antara tiga individu disyaki meletakkan dadah dalam minumannya.

Susulan itu, pada 31 Julai tahun lalu, pelakon terkenal dengan tagline "kasi sengat" itu dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan kerana menggunakan ganja, selain diperintah berada bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan selama tiga tahun. 

Dah tak ambil hati

Akibat kes penyalahgunaan dadah dan isu dengan Farid itu juga, Sofi mendakwa dia kehilangan "segala-galanya" dari segi tawaran berlakon selain dijauhi rakan-rakan.

Sofi juga sebelum ini dilaporkan media pernah tampil memberi sokongan kepada Farid bahkan menganggap dirinya begitu rapat dan mengenali siapa pelakon itu sebenarnya.

Mengulas lanjut, Sofi berkata, situasi sekarang sudah tidak seperti dulu, sebaliknya kini mereka perlu menjaga diri masing-masing.

"Dulu pernah be there for him (sokong dia) tapi sekarang kena jaga diri masing-masing," katanya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang terjadi tidak menghalangnya untuk terus mendoakan kejayaan Farid.

"Saya tak bermusuh dengannya. Saya juga dah tak ambil hati selain doakan agar dia sentiasa berjaya," katanya.

Sementara itu, mengulas aktiviti bersama peminat Jodoh Syaitan, Sofi berkata dia akan bersama mereka di lima lokasi berbeza untuk Jelajah Promosi filem berkenaan.

"Saya akan berada di Kuantan pada 6 hingga 8 Mac. Kemudian bergerak ke Sungai Petani, Alor Setar pada 10 hingga 12 Mac. Selepas tu bergerak ke Melaka (13 Mac), Batu Pahat (14 Mac) dan Johor Bahru (15 Mac)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS