Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Alif Satar mengaku mengambil berat soal penulisan wasiat kerana menyedari kepentingan merancang pengurusan harta sebagai persediaan selepas kematian.

Kata penyanyi, pelakon dan pengacara itu, sebagai ketua keluarga yang menjadi sumber pendapatan utama, dia mempunyai tanggungjawab amat besar kepada isteri dan tiga anaknya.

“Kepentingan menguruskan harta dilihat sama berat dengan persediaan seperti kita memiliki insurans atau mempunyai simpanan di hari tua.

“Sebenarnya, semua orang juga patut menulis wasiat daripada awal. Memang saya tak berapa pandai bab ni, tapi saya rasa kita semua patut tahu menguruskannya," katanya.

Justeru, pemilik nama penuh Muhammad Alif Mohd Satar itu ingin melakukan persiapan dengan sebaik-baiknya bermula dari kelahiran anaknya yang pertama.

“Bila bercakap mengenai topik sebegini, ia sebenarnya banyak menimbulkan keinsafan terutama apa yang berlaku dalam industri hiburan baru-baru ni.

“Disebabkan hal sebegitu ia menyedarkan saya bahawa ada baiknya saya telah merancang wasiat sejak timang anak pertama dulu,” katanya.

Alif ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya, Family Spy di Kuala Lumpur kelmarin.

Drama yang turut menampilkan Rozita Che Wan itu dijadual ditayangkan pada 11 Mac melalui saluran Astro Ceria dan Ceria HD.

Pada masa sama, Alif berkata, dia terpanggil untuk mengadakan kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi mengadakan kempen kesedaran menjaga jantung.

“Baru-baru ni banyak kes serangan jantung berlaku yang kebanyakannya membabitkan lelaki. Hal tu membuatkan saya tertarik untuk jalin kerjasama dengan IJN.

“Kempen dinamakan VO2 Max tu nanti akan dilancar di saluran YouTube saya tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya, ia bertujuan mendidik orang awam mengenai kepentingan untuk menjaga jantung kerana ia organ paling penting dalam tubuh manusia.

“Saya harap kempen tu boleh buka mata orang ramai selain mengingatkan mereka untuk melakukan pemeriksaan berkala terhadap kesihatan jantung.

“Baru-baru ni saya sendiri jalani pemeriksaan menyeluruh membabitkan ujian air kencing, darah dan imbasan badan,” katanya.

Alif mendirikan rumah tangga dengan shadila Halid dan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu, Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca, 3 dan seorang lelaki, Muhammad Ali, kini berusia enam bulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS