Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Perubahan politik negara tak jejas Mahathir: The Journey

Krisis politik negara yang membawa kepada peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan runtuhnya kerajaan PH tidak menjejaskan filem biopik berkisarkan tokoh itu.

Penerbit filem Mahathir: The Journey, Yusuf Kelana berkata naskhah itu lebih memberi tumpuan kepada kisah hidup Dr Mahathir sebagai satu-satunya tokoh politik yang dipilih sebagai perdana menteri sebanyak dua kali.

"Sebab itu sejarah tetap sejarah. Apa yang sudah terjadi, kita tak boleh padamkan walaupun kita tak dapat menjangka apa akan berlaku selepas ini," katanya kepada Malaysiakini.

Mahathir: The Journey yang memulakan penggambaran pada 15 Disember lalu itu menampilkan barisan pelakon seperti Azhar Azmi sebagai Mahathir, Fauziah Latiff (Dr Siti Hasmah Mohamad Ali), Afique Hussain (Mukhriz Mahathir), Hilal Azman (Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Dr Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah) dan Qazim Nor sebagai Sofi.

Filem arahan Profesor Dr Mohamad Hatta Azad Khan dan Cheong Kai Wan itu dijangka siap sepenuhnya pada Mei depan.

Yusuf berkata lagi, karya tersebut - yang kini dalam proses penyuntingan - buat masa ini tidak menyentuh senario politik yang dicetuskan oleh "langkah Sheraton" pada 23 Februari lalu yang berlarutan selama seminggu dan membawa kepada pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.

“Justeru, tak banyak perubahan perlu dilakukan kerana plot utama filem bermula daripada Mahathir meletak jawatan pada 2003 hingga dilantik semula menjadi perdana menteri pada 2018.

“Cuma, untuk babak akhir masih dalam perbincangan, perlu tengok senario apa pula berlaku selepas ini manakala penggambaran ke Jepun untuk babak di Hiroshima, Jepun dibatalkan ekoran Covid-19,” katanya.

Yusuf, yang juga pengarah Tragedi Oktober, juga berkata cabaran mereka selepas ini hanyalah untuk mendapatkan rakaman temu bual bersama Mahathir untuk dimuatkan dalam biopik itu.

“Kami sedang berusaha untuk dapatkan Dr Mahathir untuk babak akhir nanti,” katanya.

Mahathir: The Journey sebelum ini menerima tamparan awal apabila anak Mahathir, Marina berkata ia tidak mendapat restu pihak keluarga.

Yusuf kemudian menjelaskan pihaknya terlebih dahulu mendapatkan kelulusan Pejabat Perdana Menteri sebelum membuat pelancaran filem berkenaan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS