Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Saya bukan penjenayah, tak perlu taubat kerana muat naik sesi temu bual'
Diterbitkan:  Feb 22, 2020 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Usahawan produk kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman tampil mempertahankan tindakannya susulan kontroversi yang tercetus sewaktu membuat kunjungan ke kediaman balu arwah pelawak Abam, Nor Hidayah Mohd Ali.

Aliff berkata, dirinya bukan seorang penjenayah, justeru bukan satu keperluan untuknya bertaubat atas tindakannya memuat naik sesi temu bual bersama Nor Hidayah ke saluran media sosial miliknya.

“Suruh bertaubat, kena minta maaf, ada yang kata saya jahat dan tak ada adab, semua tu salah.

“Tolong jangan cakap saya perlu bertaubat disebabkan perkara ni, saya bukan penjenayah,” katanya melalui Insta Story.

Aliff mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai respons kepada adik Abam, iaitu Ali Puteh yang menasihatkannya agar segera bertaubat ketika pintu taubat masih terbuka.

Terdahulu, Nor Hidayah mendakwa kereta milik arwah suaminya diambil pihak keluarga mentua, dia tidak menerima harta peninggalan selain beberapa kekangan timbul hingga memaksanya berpindah ke rumah ibunya sebelum tamat tempoh idah.

Soalan dilontarkan Aliff dan jawapan dikeluarkan daripada mulut Nor Hidayah ternyata mencetus kemarahan Ali yang menyifatkan kedua-dua pihak tidak wajar membuka aib kepada khalayak.

Dalam satu sidang media khas diadakan semalam, Ali menjawab dan menafikan setiap dakwaan dilemparkan terhadapnya berhubung cara dia mengendalikan harta arwah yang ditinggalkan.

Ali menegaskan, dia tidak sesekali akan mengambil hak anak yatim mahupun balu abangnya itu sebaliknya berhasrat untuk membantu memudahkan urusan dari segi pembahagian harta mahupun hutang-hutang yang perlu diselesaikan. 

Aliff sekali lagi menegaskan bahawa dia menyimpan segala bukti persetujuan diperolehi daripada Nor Hidayah sebelum mereka meneruskan sesi temu bual tersebut.

Katanya, kehadirannya itu juga bukan bertujuan meraih publisiti sebaliknya untuk menyerahkan sumbangan dan mengucap takziah kepada bekas akauntan tersebut.

“Saya datang nak bantu bagi duit, datang secara beradab untuk ucap takziah, semua tu ada simpan rekod. Yang mana kata saya suka posting video itu telah diminta kebenaran.

“Ketika rakaman secara langsung dibuat, balu arwah tahu malah muat naik di Facebook pun dia tahu. Jadi tak ada istilah siapa nak laga siapa.

“Semua yang terjadi tanpa dirancang, saya sendiri terkejut,” katanya.

Pada masa sama, Aliff berkata, dia bakal membuat laporan polis terhadap pihak yang cuba menjatuhkan maruah dan reputasinya.

“Saya akan buat laporan polis dan sidang media supaya nama saya tak diburuk-burukkan nanti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS