Spekulasi pelakon Emma Maembong bakal mendirikan rumah tangga hari ini akhirnya menjadi kenyataan.
Dia sah menjadi isteri Muhammad Shazli Azhar dengan sekali lafaz kira-kira jam 11.57 tadi di Centre For Malay World and Islamic, Damansara, Kuala Lumpur.
Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohammad Akmal Abdul Aziz berwalikan bapa pengantin perempuan, Ismail Embong.
Emma, atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail menerima mas kahwin sebanyak RM2,000 dan senaskhah al-Quran serta tujuh dulang hantaran berbalas lima.
Kedua-dua pasangan dilihat segak mengenakan busana serba putih rekaan pereka, Ezuwan Ismail.
Terdahulu, kecoh di dada media Emma, 27, bakal bernikah dua hari lagi.
Disebut-sebut sebelum ini, berdasarkan tarikh yang dianggap 'cantik' iaitu 20-02-2020, kemungkinan tarikh itu menjadi pilihan ramai untuk diijabkabulkan, termasuk Emma.
Emma juga pada awalnya disebut-sebut bakal bersuamikan lelaki dari kerabat diraja.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak benar, sebaliknya lelaki berusia 32 tahun itu bekerja sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan Indonesia.
Adik-beradik Emma seperti Chacha Maembong turut hadir selain rakan artis lain seperti Aprena Manrose, Mawar Rashid, Alvin Chong, dan Oktovia Manrose.