Selain mempertahankan hak, teruk dikecam sebagai 'penunggang agama' juga mendorong Dayana Amerda memberi tempoh seminggu kepada bekas kekasihnya, Naim Daniel, untuk membuat pengakuan bahawa lagu Sumpah dicipta ketika mereka bercinta.
Mengaku bukan niatnya untuk menuntut royalti mahupun berkongsi wang kemenangan Sumpah sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) baru-baru ini, Dayana berkata dia sebenarnya lebih mengharapkan kejujuran daripada Naim.
"Teruk saya dikecam netizen sampai ada tuduh saya acah-acah alim dan penunggang agama hanya disebabkan menyatakan kebenaran bahawa saya salah seorang komposer Sumpah.
"Saya tak nak duit, apa dimahukan cuma kejujuran dan hak saya bahawa lagu tu dibuat bersama-sama, tapi jika nama saya sudah didaftarkan, secara tak langsung memang akan dapat royalti," katanya.
Juara Idola Kecil 2011 itu juga menafikan dakwaan bahawa dia membangkitkan hal berkenaan kerana ingin meraih populariti dengan kemenangan Sumpah pada 10 Februari lalu.
Dayana, 20, bahkan menegaskan usaha bagi mendapatkan respons sewajarnya daripada Naim berhubung perkara tersebut adalah satu proses sudah memakan masa apabila ia asyik menemui jalan buntu sebelum ini.
"Bukan mudah, saya perlu cari peguam dan badan bukan kerajaan untuk selesaikan isu ni.
"Saya pernah menghubunginya dan memaklumkan hasrat untuk berjumpa secara berdepan sebaik terbaca catatan di Instagram yang dia bakal diterbitkan lagu berkenaan tahun lalu," katanya.
Dalam fasa bertunang
Dayana atau nama sebenarnya Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah ditemui pada sidang media khas diadakan di Villa Damansara, Petaling Jaya hari ini.
Hadir sama, peguam Dayana, Ahmad Zaharil Muhaiyar; ibunya, Che Rohaida Che Daud; dan Pengerusi Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), Ayob Abd Majid.
Dayana mendakwa, lagu dan lirik lagu berkenaan dihasilkan pada 2015 iaitu sewaktu mereka sedang dilamun cinta. Namun, hubungan itu terputus di tengah jalan.
Sumpah kemudian diterbitkan oleh Naim sewaktu Dayana dalam fasa bertunang dengan pelakon Hadi Mazlan - pada 11 November 2018. Mereka kemudian berkahwin tahun lalu.
Pertikaian hak cipta lagu Sumpah bertambah tegang sekitar Julai tahun lalu apabila maksud di sebalik lagu berkenaan dikatakan berkisar kepada kisah percintaan mereka.
Sumpah ketika ini dinyatakan sebagai lagu ciptaan Naim bersama komposer Omar K. Naim juga dikatakan menulis sendiri liriknya.
Mengulas proses perlu dilakukan Naim, Dayana berkata, dia tidak kisah caranya bagaimana asalkan bersesuaian.
“Tak kisahlah dalam bentuk video ke, sidang media ke. Cuma pihak kami berlapang dada jika dia mahu berjumpa bagi berbincang hal ini secara terperinci,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zaharil berkata, kegagalan untuk melakukan tindakan sewajarnya boleh menyebabkan penyanyi itu berdepan tindakan undang-undang.
Katanya Naim perlu membetulkan kenyataannya berhubung hak cipta lagu dan lirik berkenaan.
Menurut Ahmad Zaharil, pihaknya mempunyai cukup bahan bukti untuk meneruskan dengan saman sivil.
"Kami bagi masa untuk dia fikir. Jangan sampai dimakan sumpah. Di Malaysia ramai orang makan sumpah.
"Kami bagi dia peluang bertindak secara wajar. Buatlah apa yang patut demi kebaikan bersama.
"Dah orang punya, kenalah bagi (haknya). Datang dan duduk berbincang," katanya.
Naim sebelum ini pernah memaklumkan kepada media bahawa isu terbabit sudah selesai dan enggan memanjangkannya lagi.