Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

A Aida mengaku dia tidak menyangka sama sekali, kepercayaan penuh yang diberikannya kepada pelakon - yang dianggap seperti adik sendiri - membuat dia kerugian lebih RM200,000.

Mendakwa tidak memiliki ramai kawan, penerbit terkenal itu berkata situasi sedang menghimpit ketika ini mungkin sukar difahami oleh orang yang tidak mengenalinya.

“Ibu bapa dia baik dengan saya. Tapi itulah A Aida, orang lain mungkin tak kenal siapa A Aida.

“Saya ni tak ramai kawan tapi kalau berkawan, betul-betul sampai senang percaya dan saya jenis tak kisah. Saya selalu terkena (dikhianati) kat situ,” katanya.

Menceritakan bagaimana dirinya ditipu, penerbit drama Andainya Takdir itu mendakwa dia memang tidak tahu selok-belok pelaburan.

Justeru A Aida memberi sepenuh kepercayaannya kepada salah seorang pelakonnya untuk membantu menguruskan akaun pelaburan tersebut.

Bagaimanapun, dakwa A Aida, pelakon terbabit membuat transaksi tanpa pengetahuannya menyebabkan dia kerugian lebih RM200,000.

Tak pandang ganti rugi

“Saya hanya sedar kehilangan wang berkenaan apabila memeriksa e-dompet sewaktu bercuti di Mesir tahun lalu. Saya amat terkejut kerana tiada wang berbaki di situ,” katanya.

A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang ditemui pada majlis pratonton filem pertamanya, Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda di Mutiara Damansara semalam.

Filem itu akan mula ditayangkan pada 27 Feb ini.

Difahamkan, ekoran laporan polis yang dibuat, pihak berkuasa menyoal siasat tiga individu bagi mengetahui apa yang berlaku pada wang A Aida.

“Saya ada lima hero lain. Tak rugi kalau dia tak ada sekali pun.

"Lepas ni saya tak akan tawarkan dia berlakon lagi di bawah A Aida Production Sdn Bhd,” katanya.

Ditanya apakah mereka ada berbincang untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah, A Aida menjawab, pada hakikatnya tidak menginginkan sebarang ganti rugi.

Sebaliknya, kata A Aida, dia mahu orang ramai mengambil pengajaran di sebalik hal yang berlaku ke atasnya agar tidak terjerumus untuk membuat perkara tidak elok.

“Memang keluarganya ada menghubungi saya dan bertanya cara penyelesaian. Bagi saya, jika nak bayar 10 kali ganda pun saya tak nak. Duit boleh dicari tapi bukan kepercayaan,” katanya.

Namun, A Aida berkata, sewajarnya suspek terbabit bertanyakan kepadanya sekiranya dia memerlukan wang dan dia sedia membantu.

“(Jika nak duit) Kenapa tak minta saja? Ni A Aida, siapa tak kenal? Dia akan bagi je....” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS