Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Cukup-cukuplah layan ahli politik macam raja'
Diterbitkan:  Feb 12, 2020 1:24 PM
Dikemaskini: 5:24 AM

Pelakon Amerul Affendi membidas pihak pengurusan Balai Seni Negara menurunkan empat lukisan menggambarkan tokoh politik hasil karya Ahmad Fuad Osman.

Tegas Amerul, pihak pengurusan Balai Seni Negara tidak sewajarnya melayan ahli politik seperti raja.

“Cukup-cukup lah layan orang politik tu macam raja.

“Dia orang tu bekerja untuk kita. Balaci kita. Kita yang pilih mereka,” ciapnya di akaun Twitter.

Setakat berita ini ditulis, perkongsian Amerul itu diulang ciap 1,800 kali dengan 2,000 tanda suka.

Penurunan karya itu dibuat ketika pameran At The End Of The Day, Even Art Is Not Important hanya berbaki kira-kira 19 hari saja lagi. Pameran itu bermula sejak akhir Okt tahun lalu.

Karya berkenaan antara lain  menggambarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR Anwar Ibrahim; dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Ahmad Fuad yang menyatakan rasa tidak puas hati berhubung penurunan karyanya berkataBalai Seni Negara perlu nyatakan pendirian kepada orang ramai berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerruddin Ahmad, mempertahankan penurunan karya berkenaan dan berkata langkah itu bukanlah sesuatu yang mustahil diambil sepanjang proses pameran di situ.

Tambahnya, Balai Seni Negara berperanan sebagai galeri institusi yang didanai kerajaan, justeru ia perlu beroperasi mengikut norma dan tertibnya.

Sementara itu, Amerul yang berlakon dalam filem One Two Jaga menyifatkan bahawa perkara ini boleh berlaku kerana adanya pihak yang terlalu menyegani ahli politik.

“Sebab adanya kaki kipas kaki bodek ahli politik benda macam ni boleh jadi,” katanya lagi.

Amerul membuat kenyataan itu bagi membalas ciapan dari akaun Five Art Centre yang memaparkan ulasan dari Kathy Rowland, salah seorang pengkritik budaya dan penulis berkenaan isu penapisan seni di Malaysia.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS