Peminat industri hiburan hari ini dikejutkan dengan berita pemergian pelawak Abam Bocey yang meninggal dunia di kediamannya di Gombak pagi tadi.
Perkara itu disahkan oleh adiknya Ali Puteh, yang juga merupakan seorang pelawak.
“Al-Fatihah abang,” katanya menerusi Instagram story miliknya.
Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, merupakan seorang pelawak, pelakon dan ahli kumpulan Bocey bersama Fad dan Achey.
Anggota kumpulannya Fad atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam turut mengesahkan perkara tersebut dengan satu hantaran video di akaun Instagram.
“Allahhuakbar, Allahhuakbar, Allahhuakbar, innalillahiwainnailaihirojiun.
“Kenapa kau pergi dulu Bam? Kenapa tak tunggu aku, aku jauh ni, aku nak peluk cium kau,” katanya sambil menangis.
Selain itu, Achey atau pemilik nama penuh Mohd Nasir Hamzah turut berkongsi perasaan sedih atas pemergian sahabatnya itu.
“Kenapa awal sangat Bam! Mana janji kau ! Ya Allah... guyss Abam dah tak ada guys,” katanya.
Sementara itu Astro Awani melaporkan isteri Abam, Nor Hidayah memberitahu bahawa Allahyarham demam dan mengadu kurang sihat sejak dua hari lalu.
“Beberapa hari lepas dia demam dan mengadu sakit kepala. Tetapi bila ajak ke hospital, dia tak mahu.
“Katanya hanya demam dan sakit kepala biasa. Tapi pagi tadi saya kejutkan untuk solat subuh, namun dia tak ada tindak balas daripada dia,” katanya menangis teresak-esak.
Abam dan Nor Hidayah berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey bin Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 5 bulan.