Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Demi memastikan dirinya terus kekal relevan, penyanyi, pelakon dan pengacara, Azza Elite mengaku tidak malu untuk merujuk mana-mana kandungan Instagram (IG) individu lebih muda dan berpengaruh sebagai pengisian akaun laman sosialnya.

Kata Azza, kerajinannya mengemas kini status IG juga antara penyebab dia terus diberi kepercayaan untuk menjadi duta sesebuah produk hingga kini walaupun pengikut di IG miliknya belum pun mencecah sejuta orang.

“Memang zaman sekarang saingan begitu sengit terutama dalam kalangan artis-artis muda, tapi mungkin disebabkan kebolehan saya meyakinkan pembeli selain pernah mengacarakan program, maka saya dipilih.

“Justeru, untuk kekal relevan, saya kena bijak mengemas kini akaun IG seperti mana-mana influencer atau budak-budak muda yang lain buat,” katanya.

Meskipun bayaran yang diterimanya mungkin tidak selumayan selebriti lain, Azza berkata, selagi bersesuaian, dia tidak boleh terlampau memilih.

“Dalam keadaan sekarang tak boleh memilih sebab artis ramai. Bila diberi peluang dan kepercayaan saya kena terima dengan hati terbuka,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nor Azzarima Zawari itu ditemui pada majlis pelancaran dan pengumumannya sebagai duta produk Deedat Air Care di Taman Saujana, Klang, Selangor baru-baru ini.

Pada masa sama, Azza berkata, penyertaannya bersama Elite dalam program Gegar Vagaza musim 6 tahun lalu banyak membuka pintu rezeki buatnya.

“Awal 2020 memang satu pembukaan manis buat saya. Saya kembali sibuk dengan beberapa penggambaran drama yang antaranya memerlukan saya memenuhi watak sebagai ibu,” katanya.

Mengulas konsert Elite - yang bakal diadakan pada September depan bersama beberapa selebriti tanah air - Azza berkata, kumpulan itu bakal menampilkan anggota asalnya selain dirinya, iaitu Linda, Sasha, Watie dan Abby.

“Hari tu ada meeting dengan pihak KRU, iaitu Norman Abdul Halim. Insya-allah Abby akan turut serta. Bukan mudah untuk ajak dia sertai kami balik. Begitu juga dengan Sasha.

“Sekalipun dia sudah menetap di luar negara kerana mengikut suaminya, kakak kepada Zain Saidin itu akan tetap kembali demi menjayakan konsert bersama rakan-rakan lain,” katanya.

Sementara itu, mengulas pelantikannya sebagai duta Deedaat Air Care, Azza berkata, dia menerima tawaran berkenaan kerana yakin dengan produk terbabit yang dikatakan bebas toksin.

“Produk ni bebas alkohol, kimia dan methanol. Harumannya kekal lama kerana ia 100 peratus diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan kayu-kayan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS