Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Demi ibu Joe Flizzow tak turutkan hati menyambut hadirnya isteri

Jika diikutkan hatinya, penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow berkata dia seboleh-bolehnya mahu menamatkan zaman bujangnya secara sederhana saja dan memilih masjid sebagai lokasinya.

Kata Joe, impian itu memang bersesuaian dengan perwatakannya yang memang suka bersederhana dalam segala hal.

“Terus-terang saya cakap, impian saya memang nak kahwin dan nikah dalam masjid saja. Tunang saya juga sebenarnya tak kisah sekiranya masjid menjadi tempat untuk kami diijabkabulkan,” katanya.

Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak ditemui pada majlis pengumuman Nusa Fest di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun, Joe, 40, berkata, bagi menghormati permintaan ibunya, Aishah Ali yang mahu meraikan kedua-dua belah keluarga dengan cara tersendiri, hasrat itu dibatalkan saja.

Menurutnya, dia akhirnya bersetuju mengikut kemahuan ibunya itu.

“Ibu saya berkeras menyatakan akan ramai nak datang ke majlis itu nanti. Menurutnya, saudara-mara semuanya teruja, mereka tumpang gembira.

“Justeru, apa salahnya buat majlis berkenaan di dewan bagi merapatkan lagi hubungan kedua-dua belah keluarga selain mengajak lebih ramai kenalan berkongsi detik itu,” katanya.

Kawan ibu lebih ramai

Joe mengikat tali pertunangan dengan wanita yang dikenalinya lebih 10 tahun, iaitu Marini Ramlan, 28 Dis tahun lalu dan mereka dijadual akan bernikah pada April ini.

Meskipun sudah mengenali hati budi masing-masing sejak sekian lama, pasangan itu hanya benar-benar menjalin hubungan lebih serius bermula 2016.

Menurut Joe, majlis berkenaan dirancang diadakan di Dewan Perdana Felda yang boleh memuatkan sehingga 1,000 orang.

Mengulas perkara itu, secara berseloroh Joe berkata: "Dewan ni boleh muat semua orang. Sebabnya kawan-kawan ibu saya lebih ramai daripada rakan-rakan saya sendiri.”

Sementara itu, mengulas persediaannya menempuh hari bahagia itu, Joe berkata, tidak banyak akan dilakukan kecuali lebih memberi fokus kepada hal-hal berkaitan mental.

“Selebihnya serahkan pada pihak kaum hawa kerana mereka sangat teruja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS