Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dakwaan status khunsa Sajat tak disokong bukti, kata Mujahid
Diterbitkan:  Feb 3, 2020 9:36 PM
Dikemaskini: 1:43 PM

Sikap ditunjukkan kerajaan terhadap isu Nur Sajat dibuat selepas ahli perniagaan dan personaliti selalu menjemput kontroversi itu tidak pernah menunjukkan bukti secara saintifik dia seorang khusna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof, berkata setakat ini status jantina Nur Sajat itu hanya dibuat melalui dakwaan saja dan tanpa disokong sebarang bukti.

"Oleh itu kami berpegang kepada fatwa dikeluarkan muzakarah haji yang jelas menyebut, tanpa sebarang pembuktian (status jantina), seseorang itu kekal dengan jantina asal.

"Segala hukum-hakam yang dikenakan ke atas mana-mana jemaah haji dan umrah adalah sama seperti (orang) yang lain," katanya dalam satu kenyataan melalui video hari ini.

Terdahulu ahli parlimen Parit Buntar itu mengadakan pertemuan dengan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membincangkan langkah yang boleh diambil terhadap personaliti yang memiliki nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruzzaman itu.

Mujahid juga berbincang dengan wakil agensi yang membawa rombongan Nur Sajat ke Tanah Suci bagi mendapatkan maklumat sebenar bagaimana penyanyi lagu Bobo Di Mana dan Makhluk Penggoda itu boleh diterbangkan untuk mengerjakan umrah.

Pertemuan tersebut diadakan di Putrajaya hari ini.

Isu Nur Sajat menjadi perhatian ramai dan mengundang kemarahan ramai orang Islam selepas dia memuat naik gambar mengerjakan umrah dengan bertelekung.

Menurut Mujahid, dengan apa yang berlaku, jelas menunjukkan Nur Sajat tidak menghormati fatwa yang ditetapkan pihak berkuasa agama.

Mengulas mengenai pertemuan dengan SKMM pula, Mujahid berkata, ia dibuat bagi melakukan tindakan segera terhadap pelbagai video dan gambar yang dimuat naik Nur Sajat.

“Tindakan segera akan diambil oleh SKMM,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS