Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mujahid: Sajat cemarkan imej Islam
Diterbitkan:  Feb 3, 2020 3:35 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof, menyifatkan tindakan usahawan dan personaliti kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzaman, bertelekung semasa mengerjakan umrah sebagai mencemar imej Islam.

"Saya kesal dengan tindakannya.. sudahlah itu dipaparkan pula di Instagram seolah-olah bukan kesalahan," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Mujahid berkata, agensi pelancongan yang membawa Sajad - atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat itu - sepatutnya sedia maklum dengan status personaliti terbabit.

"Saya tidak tahu apa janji dia kalau bawa pergi umrah. Apa janji dia untuk tidak menimbulkan perkara yang boleh mencetuskan kemarahan rakyat.

"Kad pengenalannya adalah lelaki dan dia seorang lelaki secara biologinya.

"Apabila di Mekah dia berpakaian telekung dan sudah tentu berpakaian wanita. Semua pergerakan, tempat yang dia lawati dan ruang solat dia adalah bersama wanita.

"Ini menimbulkan ketidakselesaan kerana dia telah menceroboh ruang dikhaskan kepada wanita," katanya dipetik sebagai berkata.

Akan panggil agensi pelancongan

Terdahulu, Sajat melalui perkongsian di akaun Instagram miliknya semalam dilaporkan memuat naik imej dia bersama ibu bapanya serta dua anak angkatnya berada di Masjidil Haram.

"Syukur alhamdulillah… Dengan berkat keizinan rombongan kami sekeluarga ke tanah suci Makkah dan Madinah. Selesai sudah umrah kami sekeluarga di kota Makkah.

"Semoga kami sekeluarga mendapat umrah yang mabrur di sisi ‎Allah," katanya.

Sementara itu Mujahid berkata pihaknya akan memanggil semua agensi pelancongan untuk memastikan perkara itu tidak berulang.

"Sepatutnya agensi ini yang perlu membuat penelitian supaya tindakan itu tidak menjejaskan sensitiviti," katanya.

Dalam perkembangan itu, beliau berkata tindakan Sajat dan rakan-rakannya itu tidak akan menjejaskan kuota haji negara.

"Ini lebih kepada masalah individu yang perlu ditangani iaitu tiada salahnya jika dia pergi (Makkah) dalam keadaan lelaki," jelasnya.

Sementara itu media melaporkan, Sajat sudah dibawa meninggalkan Mekah ekoran kekecohan yang tercetus baru-baru ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS